Rakyat tentukan jangka hayat UMNO - Ku Li - Utusan Malaysia

Rakyat tentukan jangka hayat UMNO – Ku Li

TENGKU Razaleigh Hamzah (kanan) ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada Anggota Lembaga Koperasi KGMMB Berhad selepas perasmian mesyuarat agung di Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jangka hayat UMNO kini terletak sepenuhnya di tangan rakyat yang akan menentukan sama ada parti itu akan terus kuat atau sebaliknya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li berkata, bentuk sokongan itu akan turut dipengaruhi oleh ketelusan pemimpin terhadap perjuangan tanpa mempunyai kepentingan sampingan yang boleh menggugat keutuhan parti.

“Kalau pemimpin ada kepentingan berbeza-beza maka parti didukung akan mengalami perpecahan. Kepentingan peribadi atau sampingan akan menjejaskan tumpuan terhadap perjuangan parti dan akan menyumbang kepada kekalahan dalam pilihan raya.

“Jika ada perpecahan dalam parti, orang ramai tidak boleh menumpukan kepada objektif sebenar kita bertanding dalam pilihan raya. Ambil pengajaran daripada sejarah terdahulu ketika UMNO lebih kuat daripada pengaruh luar biasa Soekarno bila kita ada tekad sebulat suara,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Kesatuan Guru-Guru Malaysia Barat (KGMMB) Berhad Kali ke-24 di sini semalam.

Ahli Parlimen Gua Musang itu turut menekankan era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh disamakan dengan era pentadbiran Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika ini kerana situasinya cukup berbeza.

Katanya, Najib mentadbir UMNO ketika parti itu masih memegang tampuk kekuasaan negara dengan 13 parti masih mendukung perjuangan Barisan Nasional (BN) sebelum kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Zahid ambil alih ketika kekalahan terus pada PRU14 di samping berlaku perpecahan dalaman UMNO dan BN sehingga berlaku perebutan di peringkat negeri dan pusat. Jadi situasi sekarang tidak boleh dibandingkan dengan era Najib. Malah isu-isu membabitkan kepimpinan parti termasuk kes-kes mahkamah turut memberi kesan terhadap kredibiliti parti,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Ku Li berkata, BN tidak pernah bergerak secara solo kerana ia merupakan sebuah gabungan atau perikatan merangkumi beberapa parti komponen sejak dari awal penubuhannya.

Katanya, fungsi BN adalah untuk membantu calon-calon daripada parti komponen yang menawarkan diri untuk bertanding dalam pilihan raya di bawah satu lambang.

“Saya tidak faham istilah BN bergerak solo kerana sehingga pilihan raya lalu, ia merupakan sebuah perikatan yang terdiri daripada 13 parti politik dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Bergerak solo itu lebih sesuai untuk menggambarkan UMNO bergerak bersendirian dan bukan BN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya