ARAU: Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru rakyat di negeri ini menyertai perkhidmatan Rejimen Askar Wataniah.
Baginda bertitah, mereka yang sihat tubuh badan dan memenuhi segala keperluan minima yang ditetapkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijemput mendaftarkan diri sebagai anggota sukarela askar Wataniah di Kem Bukit Keteri di sini.
Dalam masa sama, Tuanku Syed Faizuddin turut mendoakan semoga rejimen berslogankan ‘Latih Untuk Perang’ yang merupakan benteng pertahanan kedua negara ini akan terus gah dalam mempertahankan kedaulatan tanah air dan bumi Perlis khasnya.
“Buat masa ini, pihak rejimen sedang memberi fokus khusus untuk persiapan menjadi tuan rumah kepada Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) di Perlis dari 14-16 Oktober 2022,” titah baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah sempena Hari Ulang Tahun ke-42 pasukan itu di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menerima sembah mengadap hormat timbalan komander rejimen baharu, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji di Bilik Mesyuarat, Galeri Diraja Arau.
Lasahi mengambil alih tugas sebagai Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah yang ke-23 menyembah mengadap baginda secara rasmi.
Pertemuan tersebut bertujuan memperkenalkan diri, mengetahui visi dan hasrat baginda serta membincangkan hala tuju rejimen sebagai panduan perancangan pasukan itu pada masa depan.- UTUSAN