Rakaman keterangan Bella dimainkan di mahkamah

Rakaman keterangan Bella dimainkan di mahkamah

SITI Bainun Ahd Razali (kanan) bersama peguam bela, Asiah Abd Jalil ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keterangan remaja perempuan Sindrom Down, Bella, 13, yang dirakam di Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) dimainkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad memohon rakaman itu dimainkan bagi memenuhi keperluan Seksyen 6 Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007.

Seksyen berkenaan menyatakan sekiranya rakaman video saksi kanak-kanak hendak dikemukakan sebagai bukti, rakaman tersebut perlu diterima masuk terlebih dahulu sebagai bukti peringkat pemeriksaan utama kanak-kanak terbabit.

Difahamkan rakaman video keterangan itu diambil oleh CIC pada 12 Julai 2021, iaitu beberapa hari selepas Bella dibawa keluar daripada kondominium Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali. 

Sebelum rakaman itu dimainkan, media dan orang awam yang duduk di galeri awam diminta keluar daripada mahkamah kerana Bella merupakan kanak-kanak bawah umur dan dilindungi. 

Selain itu, Nor Azizah berkata, perbicaraan yang sepatutnya mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-14 iaitu pakar psikiatri tidak dapat diteruskan kerana saksi itu perlu menghadiri sesi pembentangan yang berkaitan dengan tugasnya.

“Pendakwaan ada lima lagi saksi termasuk seorang lagi pakar psikiatri, pegawai penyiasat dan Bella.

“Pakar psikiatri perlu (dipanggil terlebih dahulu) bagi membantu mahkamah memahami ketidakupayaan dan kebatasan intelektual Bella. Pakar itu boleh beri contoh soalan boleh dikemukakan kepada Bella,”katanya.

Tambah Nor Azizah, Bella akan dipanggil untuk memberi keterangan selepas pakar-pakar psikiatri selesai memberi keterangan.

Siti Bainun, 30, didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta gangguan emosi. 

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini, antara Februari hingga Jun 2021. 

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 21 September ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN