PRU15: Gerakan Pulau Pinang cadang guna logo sendiri - Utusan Malaysia

PRU15: Gerakan Pulau Pinang cadang guna logo sendiri

OH Tong Keong (tiga dari kanan) dan Dominic Lau Hoe Chai (tengah) pada Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Gerakan Rakyat Malaysia Pulau Pinang 2022 di Georgetown, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Ahli Jawatankuasa Gerakan Pusat diminta mempertimbangkan cadangan Parti Gerakan Pulau Pinang menggunakan logo sendiri untuk bertanding pada Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) meskipun di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Perhubungan Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, beliau telah meminta jawatankuasa pusat parti itu membuat pertimbangan berbincang dengan Majlis Tertinggi PN mengenai perkara tersebut.

“Saya meminta supaya Gerakan Pulau Pinang menggunakan bendera kami sendiri untuk bertanding pada PRU15.

“Ini kerana ramai rakyat Pulau Pinang berpendapat kami masih lagi dalam Barisan Nasional (BN) dan bendera PN agak sama, jadi ia juga boleh menjadi punca penolakan rakyat kepada kami pada PRU15,” katanya dalam selepas Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Gerakan Rakyat Malaysia Pulau Pinang 2022 semalam.

Yang turut hadir Presiden Nasional Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

Menurut Tong Keong, Parti Gerakan yang ditubuhkan di Pulau Pinang mempunyai rekod pentadbiran yang cemerlang selama 39 tahun mentadbir negeri itu dan dinikmati semua rakyat.

“Projek-projek seperti projek perumahan kos rendah dan sederhana rendah di Gat Lebuh Macallum, Bandar Bayan Baru, Bandar Baru Air Itam, zon perdagangan bebas, kawasan perindustrian Perai, kawasan perindustrian Bukit Minyak dan banyak lagi kemudahan asas yang disediakan Gerakan membolehkan rakyat Pulau Pinang lebih mengenali dan menerima parti ini,” katanya.

Dalam pada itu Tong Keong berkata, terdapat 21 resolusi yang dicadangkan oleh perwakilan Pulau Pinang dalam persidangan berkenaan.

”Ini menunjukkan terdapat banyak isu yang perlu diambil serius dan ditangani atau diperbaiki khususnya oleh kerajaan negeri Pulau Pinang,” katanya.

Oleh itu tambah beliau, penduduk Pulau Pinang diseru supaya memberi peluang kepada Parti Gerakan mewakili suara mereka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya