PRU-15 sebelum berakhir 2022, UMNO belum bincang tarikh - PM

PRU15 sebelum akhir tahun?

pru15
ISMAIL SABRI Yaakob (dua kanan) menyampaikan peruntukan kepada wakil Masyarakat Cina dan India Parlimen Bera 2022 di Kompleks UMNO Bahagian Bera di Padang Luas, Bera, Pahang. - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan berlangsung sebelum akhir tahun ini.

Bagaimanapun katanya, perbincangan belum diadakan dengan kepimpinan tertinggi UMNO ‘Top 5’ atau ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi menentukan tarikh pembubaran. 

“Kita belum bincang dari segi tarikh dan selepas ‘Top 5’ berbincang, saya akan berjumpa dan berbincang pula dengan MCA dan MIC serta parti komponen lain. 

“Selepas bincang, perlu dibawa pula ke Kabinet untuk dibincang bersama ahli Kabinet sebelum dibawa pula menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk pembubaran Parlimen.

“Kesemua prosedur perlu dipatuhi cuma tidak tahu bila.. cuma kalau ikutkan Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan), cepatlah gayanya,”katanya ketika menyampaikan ucapan bersempena Majlis Penyampaian Peruntukan kepada Masyarakat Cina dan India di Kompleks UMNO Bahagian Bera di Padang Luas di sini hari ini.

Mohamad Hasan pada hujung bulan lalu berkata, PRU15 akan diadakan tahun ini selepas Perdana Menteri memberi komitmen tidak akan melaksanakannya tahun depan.

Ismail Sabri dalam pada itu berharap dapat mencapai sasaran sekurangnya minimum 5,000 undi hingga 10,000 undi majoriti bagi kerusi Parlimen Bera pada pilihan raya akan datang.

“Pada pilihan raya kali ini, kita perlu menang dengan bergaya.. menang besar kerana semua mata memandang kerusi Parlimen Bera yang merupakan kerusi Ahli Parlimen Bera iaitu Perdana Menteri,” katanya.

Beliau dalam ucapannya meminta semua parti komponen mula melakukan gerak kerja berikutan pembubaran Parlimen dan pilihan raya yang akan berlangsung pada bila-bila masa.

“Tidak kiralah cepat atau tidak, kita perlu bersedia. Tanggungjawab sebagai pemimpin parti supaya semua jentera diperkemaskan. Kita masuk PRU untuk menang,” katanya.

Ismail Sabri dalam masa sama memberitahu, kerusi Triang pada PRU15 nanti akan diwakili oleh calon dari MCA berbanding Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sebelum ini.

“Sebelum ini kita tidak bagi kepada MCA atas sebab kuota kerusi yang telah ditetapkan untuk diberikan Gerakan. Namun Gerakan tidak pernah menang.

“Sekarang kerusi Triang diserah kepada MCA dan MCA mesti buktikan boleh menang apabila diberi kerusi dan semua parti komponen mesti bantu supaya dapat  pastikan kita hentikan penguasaan DAP di Triang sekali gus merampas kembali kerusi Triang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya