IPOH: Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Tapah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Menurutnya, beliau akur dan menerima sebarang keputusan sekiranya Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memilihnya untuk kekal bertanding di Parlimen berkenaan.
“Selagi orang Tapah mahu saya kekal di sana, saya akan akur tapi itu pun atas persetujuan Pengerusi BN. Jika beliau mahu saya pertahankan Parlimen Tapah, saya akan pertahankan.
“(Buat masa ini) saya pun tidak tahu akan bertanding di mana. Selagi tidak dapat watikah, saya tidak boleh nyatakan di kerusi mana akan bertanding,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Konvensyen Rumah Ibadat Hindu Negeri Perak di Dewan Kuil Arulmigu Subramaniar Kallumalai di sini hari ini.
Kerusi Parlimen Tapah disandang Saravanan selama tiga penggal sejak 2008 selepas memenangi PRU-12 apabila mengalahkan calon PKR, Tan Seng Toh dengan majoriti 3,020 undi.
Sementara itu ditanya mengenai cabaran Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed untuk MIC bertanding di kerusi Parlimen Pulai, Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, tawaran itu telah ditolak oleh partinya.
Malah katanya, tindakan Nur Jazlan itu juga disifatkan tidak wajar kerana isu pembahagian kerusi bukan ditentukan mana-mana pihak sebaliknya Pengerusi BN.
“Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran sudah jawab yang kita tidak berminat (bertanding di Parlimen Pulai). Bagi saya, kita perlu ada kematangan politik sebab memberi kerusi untuk mana-mana calon adalah hak mutlak Pengerusi BN, bukan saya atau mana-mana pihak.
“Saya pelik ramai tidak faham, bukan kita sesuka hati beri kerusi. Itu adalah hak mutlak pengerusi dan dia yang akan tentukan siapa bertanding di mana,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Nur Jazlan sedia menawarkan Parlimen Pulai kepada MIC secara ‘barter trade’ di mana MIC perlu memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di Parlimen Tapah.
Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai itu yakin BN akan memperoleh kemenangan di Parlimen Tapah dalam PRU-15 sekiranya calon UMNO diletakkan di kerusi berkenaan. – UTUSAN