PRU-15: PH perlu kemuka tawaran hebat, iktiraf wanita

PRU-15: PH perlu kemuka tawaran hebat, iktiraf wanita

AIMAN ATHIRAH SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) perlu tampil mengemukakan kepada pengundi satu tawaran hebat bagi mengiktiraf golongan wanita dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.

Ketua Wanita PH, Aiman Athirah Sabu berkata, tawaran tersebut seperti calon Timbalan Perdana Menteri wanita pada pilihan raya umum yang lalu yang kemudiannya berjaya diisi oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya ada sebut kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi PH) bahawa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kami ada satu tawaran yang hebat iaitu, calon Timbalan Perdana Menteri wanita.

“Jadi tentulah dalam PRU15 ini, kami perlu juga datangkan tawaran sehebat itu, ia perlu ada strategi yang jelas sebab ia akan dinilai.

“Dalam PRU14, kami berjaya, dan kali ini perlu tindakan-tindakan, jika tidak Timbalan Perdana Menteri, mungkin ada tawaran-tawaran menteri yang mesti dijelaskan,” katanya sewaktu sidang akhbar selepas Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional 2022 di sini hari ini.

Konvensyen tersebut dirasmikan oleh Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan turut dihadiri oleh Wan Azizah yang merupakan Penasihat PKR.

Aiman Athirah dalam pada itu berkata, beliau turut berharap supaya PH dapat meletakkan lebih ramai calon dalam kalangan golongan wanita di kerusi-kerusi yang akan ditandingi parti itu kelak dalam PRU15.

Jelas beliau, perkara itu selari dengan hasrat yang dibawa oleh AWAN menerusi konvensyen kali ini menerusi agenda pendemokrasian politik dan kepemimpinan wanita untuk memperkenalkan Pelan Tindakan Strategik Dasar Afirmatif 30 Peratus memastikan penyertaan wanita dalam posisi pembuat dasar.

“Bagi Amanah, hasil perbincangan saya dengan kepemimpinan parti, tiada masalah untuk meletakkan calon wanita lebih ramai, cuma perlu menimbangkan kerusi yang strategik, bukan hanya to fill the blanks.

“Kami mahu ditempatkan di kerusi-kerusi yang strategik, walaupun katakanlah kerusi yang belum menang tetapi mestilah kerusi yang berpotensi untuk menang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya