Pondok Polis Dataran Hang Tuah jadi sarang gelandangan - Utusan Malaysia

Pondok Polis Dataran Hang Tuah jadi sarang gelandangan

KEADAAN pondok polis yang didakwa diceroboh gelandangan termasuk kaki mabuk dan penagih dadah di Dataran Hang Tuah, Melaka. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Keadaan Dataran Hang Tuah, Banda Hilir di sini yang tidak diurus dan diselenggara dengan baik menyebabkan kawasan itu sepi dari­pada dikunjungi pelancong.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar kawasan itu mendapati, terdapat kerosakan pada ukiran arca, papan tanda yang usang, kolam tidak berfungsi dan beberapa kawasan ditumbuhi lumut.

Lebih menyedihkan, pondok polis yang dibiarkan kosong di situ didakwa dicerobohi gelanda­ngan termasuk kaki mabuk dan penagih dadah untuk tidur, termasuk melepaskan gian.

Pekerja am, Ahmad Yazid Salleh, 45, berkata, kurangnya pemantauan pihak berwajib menyebabkan kemudahan seperti pondok polis disa­lah guna.

“Keadaan itu mendatangkan risiko keselamatan. Pondok itu pernah dibaik pulih tetapi kerana tiada pemantauan menyebabkan ia dipecah masuk.

“Alangkah ruginya apabila kemudahan sedemikian tidak digunakan sebaiknya,” katanya.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Faridah Yusof, 64, pula mendakwa, keadaan itu berlarutan hampir setahun tanpa sebarang inisiatif untuk menceriakan kawasan tersebut.

Katanya, sebelum ini kawasan itu sememangnya menjadi tumpuan pelancong terutama untuk bergambar.

“Kerja-kerja pembersihan kolam dilakukan pada Januari lepas kerana air sudah bertakung terlalu lama. Namun, sehingga hari ini kolam tersebut dibiarkan kosong dan tidak lagi diselenggara.

“Ukiran arca bukan sahaja rosak, malah turut dinaiki tumbuhan liar. Lumut di kawasan sekitar yang tidak dibersihkan hanya mencacatkan pemandangan, sekaligus menjejaskan imej Melaka sebagai destinasi pelancongan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya