SHAH ALAM: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam akan mengemukakan permohonan reman terhadap bapa kandung kepada pelakon remaja perempuan dekat Mahkamah Majistret di sini, esok susulan terdapat satu laporan dibuat anaknya pada 8 September lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, laporan tersebut dibuat remaja berusia 15 tahun itu yang mendakwa dipukul menggunakan penyangkut baju pada 2014.
“Hari ini (IPD) Subang akan serah (suspek) kepada (IPD) Shah Alam dan esok akan membuat permohonan reman. Mangsa ada buat laporan kena pukul dengan suspek guna penyangkut baju pada 2014, dahulu,” katanya kepada pemberita di sini.
Terdahulu, bapa pelakon remaja perempuan terbabit ditahan pada 6 September lalu atas dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap anaknya.
Suspek ditahan di kediamannya di Kedah dan polis turut merampas telefon bimbit suspek dan dihantar kee Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisis.
Baru-baru ini, pelakon itu menerusi satu temu bual dalam laman YouTube, mendedahkan sikap buruk bapanya yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadapnya. – UTUSAN