Polis rampas 17 tong drum berisi petrol, diesel di dalam semak - Utusan Malaysia

Polis rampas 17 tong drum berisi petrol, diesel di dalam semak

ANGGOTA polis Padang Besar memeriksa tong drum berisi petrol dan diesel yang ditemukan di sebuah stor haram di Kampung Kok Mak, Padang Besar, Perlis semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Polis merampas sebanyak 17 tong drum berisi 3,180 liter petrol dan diesel dipercayai untuk diseleweng ke negara jiran di kawasan semak di Kampung Kok Mak di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, serbuan pada pukul 2.30 petang itu dilakukan selepas intipan selama dua jam di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 17 tong drum berisi diesel dan petrol disorokkan di kawasan semak samun yang dilitupi kanvas berwarna biru. Pihak polis merampas 80 liter minyak diesel, 3,100 liter petrol, satu unit pam sedut minyak dan dua unit hos getah dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM10,425,”  katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, siasatan awal polis mendapati jarak stor haram itu dengan jalan utama kira-kira 150 meter dan terletak jauh dari kawasan perumahan dangan laluan yang agak sunyi.

“Hasil risikan stor tersebut wujud sejak seminggu sebelum serbuan dilakukan. Rampasan berkenaan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan untuk kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 membabitkan urus niaga barang kawalan berjadual ‘LPG’ tanpa lesen yang sah.

Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi perseorangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau keduanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya