Polis buru amah curi barang kemas majikan bernilai RM69,000

Polis buru amah curi barang kemas majikan bernilai RM69,000

TAN Cheng San menunjukkan gambar pembantu rumah yang kini dikesan polis selepas disyaki melarikan sejumlah barang kemas milik majikannya bernilai RM69,000 dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Bukit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, dalam sidang akhbar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Polis sedang memburu seorang pembantu rumah warga asing yang disyaki melarikan barang kemas milik majikannya dianggarkan bernilai sehingga RM69,000, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Taman Bukit di sini, namun hanya disedari oleh majikan terbabit kira-kira dua hari kemudian.

Cheng San berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu, suspek berusia 27 tahun itu didapati keluar dari rumah berkenaan kira-kira pukul 1 pagi pada hari kejadian sebelum menaiki sebuah kereta.

PEMBANTU rumah yang diburu.

Beliau berkata, suami mangsa kemudian membuat laporan polis selepas menyedari kehilangan pembantu rumah terbabit kira-kira pukul 6 pagi hari sama tanpa menyedari barangan kemas milik mereka turut dilarikan dalam kejadian itu.

Menurut Cheng San, antara barangan kemas yang didapati hilang dalam simpanan mereka ialah dua pasang gelang emas bernilai RM12,000; satu set rantai emas (RM22,000) dan rantai kahwin emas (RM15,000).

Katanya, turut dilaporkan hilang ialah empat pasang subang emas kecil bernilai RM6,000; dua utas rantai emas kecil (RM3,000) serta sebuah loket emas dan seutas rantai emas panjang yang masing-masing bernilai RM1,000 dan RM10,000.

“Siasatan lanjut mendapati, barang kemas itu sebelum ini telah disimpan di dalam sebuah almari yang berkunci, namun tiada sebarang kesan umpil dijumpai pada almari tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Cheng San berkata, ketika kejadian majikan tersebut berada di rumah bersama dua anak mereka, namun tidak menyedarinya kerana barangan kemas itu disimpan di dalam bilik berasingan.

Katanya, susulan kehilangan barang kemas itu, satu lagi laporan polis dibuat Khamis lalu di Balai Polis Bukit Mertajam, di sini.

“Sehubungan itu, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan sesiapa yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Shuhaimi Ismail di talian 019-2909231,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN