LAHAD DATU: Pelabuhan Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) berpotensi menjadi salah satu hab perkapalan utama di rantau Asia.
Pelabuhan yang siap pada tahun 2018 itu akan menjadi hab logistik perkapalan global yang akan memanfaatkan laluan perkapalan utama Selat Lombok-Makassar.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kedudukan strategik pelabuhan POIC di pertengahan Asia Timur mempunyai kelebihan besar dalam aspek pengendalian kargo pukal kerana pemprosesan boleh dilakukan di sini sebelum dieksport ke beberapa negara maju seperti China dan Jepun.
Katanya, beliau percaya, pelabuhan yang dilengkapi dengan infrastruktur baharu itu akan membantu menjana pertumbuhan sosio ekonomi serta peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.
“Pelabuhan ini juga akan membantu membangunkan lagi sektor perindustrian di Sabah yang merupakan salah satu sektor tumpuan dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)”, katanya semasa pelancaran Pelabuhan POIC Lahad Datu dan pengoperasian fasiliti tangki pukal POIC, hari ini.
Beliau berkata, industri pelabuhan merupakan salah satu daripada pemangkin utama dan tulang belakang kepada pembangunan negeri Sabah, khususnya melibatkan penghantaran barang atau kargo.
Dalam menyokong pembangunan POIC, kerajaan negeri secara prinsipnya menyokong dan bersetuju untuk mewujudkan zon bebas cukai di Taman Perindustrian POIC Lahad Datu.
Ia akan membantu menarik lebih ramai pelabur asing dan tempatan untuk mengambil peluang serta memanfaatkan insentif bebas cukai bagi produk untuk dieksport.
Menurut beliau, pusat pengumpulan satelit biojisim yang akan diuruskan POIC sebagai pengumpul tunggal biojisim bagi memastikan bekalan bahan mentah terjamin.
Di samping itu, kerajaan negeri juga berharap agar proses menaik taraf Lapangan Terbang Lahad Datu dapat dilaksanakan bagi melengkapkan kemudahan pengangkutan di daerah ini.
“Lapangan terbang sedia ada terlalu kecil dan jarak landasan pula terhad. Maka, kerajaan negeri sedang berbincang dengan Kementerian Pengangkutan bagi membesarkan atau membina landasan baharu,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, penyediaan kemudahan infrastruktur yang baik dan berkualiti akan dapat menyokong setiap usaha pembangunan ekonomi yang akan dilaksanakan di negeri ini.
Dalam majlis sama, satu perjanjian pelaburan turut ditandatangani antara POIC Sabah Sdn Bhd bersama Galamux Oils Sdn Bhd dan Bumi Teraju Borneo Sdn Bhd serta perjanjian penyewaan fasiliti tangki pukal antara POIC dan KL-Kepong (Sabah) Sdn Bhd.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam; Pengerusi Lembaga Pengarah POIC Sabah Sdn Bhd, Datuk Seri Yong Teck Lee; Ketua Pegawai Eksekutif POIC Sabah Sdn Bhd, Datuk Fredian Gan; dan Pengarah Urusan Galamux Oils Sdn Bhd, Usman Ahmed.- UTUSAN