BALING: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta kerajaan negeri mengambil tindakan segera terhadap kewujudan tiga kolam besar di puncak Gunung Inas yang dipercayai untuk kegunaan ladang Musang King sebelum ini.
Kata Perdana Menteri, beliau faham kebimbangan dihadapi penduduk kampung berhampiran mengenai bencana yang lebih besar sekiranya kolam tersebut pecah.
Menurutnya, perkara itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dengan beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung perkara tersebut.
“Kita mintalah perhatian daripada kerajaan negeri sebab saya difahamkan ada tiga kolam besar menakung air di Gunung Inas. Saya faham penduduk kampung bimbang kalau kolam itu pecah, pastinya akan bawa bencana lebih besar.
“Dalam kejadian sebelum ini, yang pecah cuma tandak dan bukannya kolam. Jadi saya akan minta kerajan negeri untuk ambil tindakan sewajarnya dan bagaimana nak buat, itu terserah kepada mereka.
“Tetapi isu kolam ini perlu diselesaikan kerana kalau kolam itu pecah nanti, banjir lebih teruk mungkin akan dihadapi penduduk dan demi keselamatan mereka, saya akan bincang dengan Menteri Besar Kedah supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Doa Selamat Sempena Sambutan 65 Tahun Kemerdekaan dan Bencana Banjir Daerah Baling di Dataran Keluarga Malaysia, Kampung Teluk Durian, dekat sini, hari ini.
Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) kini masih mengkaji keperluan membina empangan sabo di Gunung Inas.
Menurutnya, beliau dimaklumkan sebelum ini keutamaan bagi membina empangan tersebut bergantung kepada kelaziman berlaku banjir di sesebuah kawasan.
“Memang ada dalam perancangan awal untuk bina empangan sabo di Gunung Inas. Tetapi saya difahamkan kementerian hendak utamakan pembinaan empangan tersebut di kawasan yang sering berlaku banjir dan nanti saya akan periksa semula perkara itu.
“Begitu pun sebelum ini kerajaan Persekutuan telah meluluskan tebatan banjir di seluruh Baling dan ia dijangka mampu menyelesaikan masalah banjir di seluruh daerah ini. Saya tak pasti sama ada tebatan itu nanti akan menyebabkan empangan tersebut tidak lagi perlu dibina, saya akan semak semula nanti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM17.8 juta bagi membina kemudahan baharu di kawasan terjejas selain manfaat penduduk berhampiran.
“Sebanyak RM10 juta akan digunakan untuk membina jambatan konkrit baharu di Kampung Iboi yang kini hanya menggunakan jambatan bailey sebagai laluan sementara. Jambatan itu memang pendek jaraknya tetapi memerlukan kos besar kerana perlu dibina tinggi agar tidak lagi terputus jika banjir melanda.
“Sebanyak RM3 juta pula akan digunakan untuk membina rumah baharu bagi menempatkan 17 keluarga yang kini kediaman mereka berada di kawasan berisiko. Sejumlah RM4.8 juta pula akan diperuntukan untuk menggantikan 17 yang terjejas dalam kejadian aliran puing serta banjir lumpur lalu di daerah ini,” katanya. – UTUSAN