PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah dan rasa sedih kepada seluruh kerabat diraja, kerajaan dan rakyat United Kingdom (UK) susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Jelas Ismail Sabri, baginda yang juga pemerintah paling lama dalam sejarah dunia terkenal dengan sifat yang dedikasi dalam menjaga kebajikan rakyatnya.
“Jasa baginda mengekalkan hubungan baik United Kingdom dan negara-negara seluruh dunia termasuk Malaysia sentiasa diingati dan dihargai.
“Saya berharap keluarga diraja baginda dan rakyat terus tabah menghadapi dugaan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun selepas dilaporkan menghidap ‘episodic mobility problems’, sejak hujung tahun lalu.
Baginda mangkat dalam keadaan tenang di Istana Balmoral, Scotland, semalam selepas 70 tahun memegang takhta.
Putera tertua dalam kalangan empat anak baginda, Putera Charles, 73, dilaporkan secara langsung menaiki takhta sebagai Raja, dan melakar sejarah sebagai pewaris takhta tertua dalam sejarah Britain. – UTUSAN