ALOR SETAR: Masih belum ada tanda-tanda daripada kerajaan persekutuan bahawa Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tidak ada seorang pun jemaah menteri daripadaPas yang dipanggil untuk membincangkan perkara itu.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga tidak memberikan sebarang petanda untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) buat masa ini.
“Sehingga hari ini tak ada. Sepatutnya, dia (Ismail Sabri) panggil bincang sebab kita dalam kerajaan,” katanya dalam sidang media Muktamar Pas Ke-68, di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun menegaskan, jika Parlimen dibubarkan tahun ini, Pas tidak akan membubarkan kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Sekiranya kerajaan Pusat bubar dan buat PRU, negeri yang Pas perintah kita takkan bubar. Kita takkan bubar sehingga Mac tahun depan,” katanya. – UTUSAN