PETALING JAYA: Pelakon, Fattah Amin kini lebih selektif memilih naskhah supaya dapat memberi warna dalam diari seninya, terutama untuk terus memancing minat penonton supaya kekal relevan.
Jelas Fattah, dia cuba untuk tidak memilih watak yang lebih kurang sama karakter supaya tidak timbul komen berbaur kecaman daripada netizen.
“Kalau nak kata selektif, bagi saya kita kena bersikap begitu, terutama dari segi pemilihan watak. Saya cuba elak watak yang lebih kurang sama. Nanti orang kata, asyik-asyik muka ini. Asyik-asyik watak macam ini. Peminat bosan.
“Sebagai pelakon, saya perlu beri elemen berbeza dalam setiap naskhah yang dipilih. Kena tengok setiap aspek. Skrip, pengarah dan barisan pelakon. Bukan demand, tetapi itu perlu untuk kekal relevan,” katanya.
Fattah berkata demikian sewaktu tayangan perdana filem Deleted: Akan Kujejak! yang bakal memasuki pawagam seluruh Malaysia, esok.
Selain Fattah, filem yang berkisarkan penyeludupan dan pemerdagangan manusia, termasuk kanak-kanak itu turut menampilkan Datuk Rosyam Nor, Henly Hii, Vincent Ng dan ramai lagi.
Bercakap tentang filem baharunya, Fattah berkata, kekuatan mesej yang ditampilkan dalam Deleted: Akan Kujejak! merupakan antara sebab utama dia menerima watak sebagai anggota polis.
“Jarang kita tengok sesebuah naskhah mengangkat isu penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Filem ini juga penuh dengan aksi dan berbeza. Itu yang membuatkan saya teruja untuk berlakon dalam karya terbitan produksi Singapura ini.
“Malah, kalau tengok barisan pelakonnya baik tempatan atau luar negara, saya dapat menimba ilmu baharu. Sebagai pelakon, saya sentiasa dahagakan ilmu lakonan. Itu yang menjadikan seseorang pelakon terbaik,” katanya.