NABAWAN: Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia terus dipergiat di seluruh negara bagi memperkukuh ikatan perpaduan dalam kalangan rakyat.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, program itu dapat membantu menyemarakkan lagi semangat muhibah dalam kalangan Keluarga Malaysia.
Katanya, penganjuran program di peringkat Parlimen Pensiangan itu hari ini dan semalam menyaksikan pelbagai aktiviti dan pertandingan diadakan termasuk Pameran Rumah KAMI Keluarga Malaysia.
“Pameran Rumah KAMI menonjolkan keunikan budaya suku kaum di Sabah yang dapat dilihat melalui rumah-rumah tradisi seperti Rumah Kadazan, Bajau, Brunei, Murut dan Rungus.
“Pengunjung boleh menikmati pelbagai makanan tradisi yang disediakan di setiap Rumah KAMI ketika pameran berlangsung. Pada proram itu, saya turut menyampaikan 340 kotak RT Cares kepada golongan B40 daripada 34 buah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sekitar daerah ini,” katanya semasa program berkenaan.
Menurut beliau, setiap KRT dari Parlimen Pensiangan menerima mesin pemotong rumput bagi pelaksanaan aktiviti gotong-royong gerak kerja bersih dan indah di kawasan masing-masing.
Pada masa ini, terdapat 117 KRT diwujudkan di Parlimen Pensiangan yang meliputi daerah Nabawan, Keningau dan daerah kecil Sook.
Mengulas lanjut, katanya, Sabah merekodkan bilangan KRT kedua terbanyak selepas Selangor dengan penubuhan 1,069 KRT. Sehingga kini, terdapat sebanyak 8,330 KRT di seluruh negara.
Dalam program itu, Halimah turut menyertai ahli-ahli komuniti KRT Kampung Karanaan, Sook melukis ‘Uniti Mural’ serta melawat dan memberi sumbangan kepada seorang Ahli Jawatankuasa Jiran Wanita, Rita Sanin yang mengalami lumpuh sejak 2020.
Yang hadir sama Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmy Yahya; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dr. Kang Tong Hum dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Norison Ramli. – UTUSAN