ARAU: Seolah-olah seperti berada di Dataran Merdeka menyaksikan perarakan sambutan kemerdekaan yang penuh kemeriahan.
Suasana tersebut dapat dirasai di jalan besar berhadapan Sekolah Tengku Budriah (STB) yang menyaksikan lebih 1,300 murid bersama ibu bapa mengikuti perarakan sempena penutupan Bulan Kebangsaan peringkat sekolah berkenaan di sini hari ini.
Murid-murid yang menyertai perarakan membabitkan 46 kontinjen yang bertemakan menentang penjajah itu berjalan sehingga satu kilometer dengan menggayakan pakaian tradisional Melayu dan pelbagai budaya serta kreativiti selain ada yang memperagakan pakaian pasukan keselamatan anggota tentera.
Aktiviti perarakan yang berlangsung cukup meriah bermula pukul 9 sehingga 10 pagi turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Rozieana Ahmad dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan negeri, Rasaidi Che Ayob.
Rozieana berkata, aktiviti perarakan yang dilaksanakan STB itu dilihat antara pengisian terbaik sempena penutupan sambutan Bulan Kebangsaan ini.
Katanya, aktiviti seumpama itu sangat baik khususnya untuk menyemai semangat patriotik dan mendidik kanak-kanak dari peringkat akar umbi mengenai semangat kemerdekaan.
“STB yang mempunyai 46 kelas dan semuanya mengambil bahagian dalam perarakan tersebut dengan pelbagai kreativiti yang cukup menarik.
“Terima kasih cikgu-cikgu, ibu bapa yang mengambil inisiatif menyediakan busana atau pemakaian kepada anak-anak bagi menjayakan perarakan yang penuh meriah ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Guru Besar STB, Md. Nazir Nik Ali pula berkata, murid-murid bermula dari pra sekolah sehingga tahun enam menyertai aktiviti perarakan tersebut sekali gus menunjukkan hasrat dan minat mereka untuk mengisi kemerdekaan.
“Melihat kepada sambutan yang cukup meriah ini, kita akan adakan lagi aktiviti-aktiviti seumpama ini pada tahun-tahun akan datang dengan lebih meriah lagi dan melibatkan lebih ramai pihak.
“Sambutan daripada ibu bapa juga sangat memberangsangkan selain pelbagai agensi lain yang memberi sokongan,” katanya. – UTUSAN