BAGAN SERAI: Orang ramai dinasihat mematuhi arahan pihak berkuasa supaya segera berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) sekiranya berlaku banjir besar pada musim tengkujuh.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Nor Tipah Majin berkata, mereka perlu mematuhi nasihat pihak berkuasa kerana agensi-agensi berkenaan berpengalaman dalam berhadapan bencana seperti banjir..
“Jangan tunggu air masuk dalam rumah baru hendak keluar kerana kita bimbang mereka terperangkap dan ini akan menyukarkan usaha menyelamat,” katanya kepada pemberita pada Program Simulasi Pengurusan PPS Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini semalam.
Turut hadir dalam program yang melibatkan 350 peserta itu, Pegawai Daerah Kerian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kerian, Mohd. Sabli Bakri.
Menurut Nor Tipah, program simulasi banjir yang diadakan bertujuan mempersiapkan pihak berkaitan berhadapan dengan bencana itu.
“Kita akan memperbaiki kelemahan dan melakukan penambahbaikan dalam pengurusan agar apabila tiba masanya, kita dapat bertindak dengan memberi perkhidmatan sempurna terhadap mangsa banjir,” katanya.
Menurutnya, Perak mempunyai sebanyak 475 PPS yang akan dibuka di sekolah, surau dan dewan komuniti.
Katanya, setakat ini tiada keperluan untuk menjadikan kuarters guru yang kosong dan terbiar di seluruh negeri untuk dijadikan PPS.
“Bagaimanapun penggunaan kuarters guru yang kosong adalah suatu cadangan yang baik yang mungkin boleh digunakan pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN