KUALA TERENGGANU: Seekor penyu agar jantan dewasa ditemukan cedera dipercayai terkena kipas bot di Teluk Dalam dekat Pulau Redang dekat sini hari ini.
Kejadian itu disedari seorang pemandu pelancong ketika membawa sekumpulan pelancong melakukan aktiviti menyelam di pulau peranginan itu pada pukul 11.30 pagi tadi.
Ahli biologi marin di resort tersebut, Nurul Ainni Mazlan berkata, kejadian itu dilaporkan kepada Jabatan Perikanan sejurus selepas mereka mendapat tahu mengenai kejadian tersebut.
“Berdasarkan video dan gambar awal yang diambil pemandu pelancong itu, kita lihat penyu tersebut alami kecederaan yang agak teruk di bahagian perut hingga ke bawah. Kami berharap Jabatan Perikanan akan menghantar kakitangannya secepat mungkin untuk menyelamatkan haiwan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, ini bukanlah kejadian kali pertama dalam bulan ini yang melibatkan kecederaan penyu akibat pelanggaran dengan kipas bot.
“Ketika musim cuti persekolahan baru-baru ini, seekor anak penyu agar turut jadi mangsa pelanggaran dan disebabkan kecederaan parah, ia tidak dapat diselamatkan. Kami yakin jika rawatan segera diberikan oleh Jabatan Perikanan, pasti kecederaannya dapat diminimumkan sekali gus menyelamatkan nyawa haiwan terancam ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan pergerakan keluar masuk bot ke kawasan Taman Laut dapat dipantau dengan lebih ketat oleh Jabatan Perikanan agar perkara sama tidak berulang lagi pada masa akan datang. – UTUSAN