Penyanyi tak boleh menipu diri - Utusan Malaysia

Penyanyi tak boleh menipu diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK ramai yang menjangkakan vokalis kumpulan Def Gab C, Mohd. Ashid Ahmad atau Asheed, 49, akan menyertai program realiti popular, Gegar Vaganza (GV) musim kesembilan.

Kehadirannya pada sidang media rancangan hiburan itu, baru-baru ini membuktikan penyanyi bersuara lantang itu masih aktif, meskipun kurang menyerlah kebelakangan ini. 

Terpanggil untuk mendapatkan perkembangan terkini bapa empat cahaya mata itu, Asheed diundang untuk berkongsi kisah, termasuk haluan dan cerita terbaharu Def Gab C yang sudah lama menyepi dari radar hiburan. 

Tepat 25 tahun kumpulan rock terkenal itu menapak dalam industri muzik, Def Gab C bukan band one hit wonder, sebaliknya menempa banyak kejayaan pada zaman kegemilangan mereka sekitar era 1990-an. 

Kumpulan ini menerbitkan album sulung, Citarasa pada 1997 yang sebahagian lagunya ditulis dalam bahasa Inggeris. 

Single Ibukota Cinta yang dimuatkan dalam album tersebut telah meledakkan nama mereka. Meskipun berdepan persaingan, Def Gab C terus mencipta kejayaan dengan album kedua, Skala pada 1999. 

Lagu Cinta Sakti berjaya ‘menangkap’ pendengaran umum, sekali gus mengukuhkan lagi posisi kumpulan itu.

Pada tahun 2000, mereka muncul dengan album Remifasolatido yang turut mencatat kejayaan. Lagu Marilah Maria mengangkat populariti Def Gab C pada aras lebih tinggi. 

Album keempat, Merah: Retrospektif Prospektif diterbitkan pada 2002. Seterusnya, kumpulan itu menghasilkan beberapa album penuh lain seperti Rawpada (2004), RWD0106 dan The Best Of Def-Gab-C (2006) dan Neolithic (2011). 

Kata Asheed, hala tuju terbaharu Def Gab C semakin jelas dengan beberapa perancangan yang telah diatur dan akan dilaksanakan selepas GV9 berakhir nanti. 

“Insya-Allah, album baharu Def Gab C dan album solo saya akan dikeluarkan selepas selesai GV9 nanti. 

“Ada beberapa lagu yang sudah siap, tinggal lagi mahu menghasilkan video muzik untuk melengkapi kemunculan album itu,” katanya. 

Kata Asheed, kesemua anggota kumpulan itu pernah bergabung pada 2018 bagi menjayakan konsert jelajah, sebelum terpaksa ‘berehat’ gara-gara Covid-19. 

“Persembahan kami terpaksa dihentikan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Ketika itu, banyak rancangan tergendala.

“Insya-Allah, selepas GV9 nanti kami akan gerakan semula Def Gab C dengan lagu baharu untuk ubat rindu peminat,” ujarnya.

Kekecewaan 31 tahun lalu

MENYELAK sejarah lama, Asheed menceritakan tentang kekecewaan yang pernah mencengkam 31 tahun lalu. 

“Sebenarnya, Def Gab C sudah diwujudkan sejak 1991 lagi, cuma nama kumpulan pada ketika itu Mahsuri. 

“Kami rakam 10 lagu di studio Booty Boys yang ketika itu terletak di Jalan Yap Kwan Seng. Kami amat kecewa apabila semua lagu tersebut tidak diterbitkan atas faktor masalah dalaman,” katanya. 

Bercerita lanjut, Asheed mengakui, kesal dengan apa yang berlaku kerana baginya, kesemua lagu itu mempunyai nilai yang cukup sentimental buat dia dan anggota band yang lain. 

“Masa dulu bukan seperti sekarang, rakaman pula hanya guna kaset. Saya tidak pasti ke mana hilangnya lagu tersebut,” ceritanya.

KEMAMPUAN BERUBAH SEIRING USIA

Penyanyi umpama atlet apabila kemampuan mereka akan berkurangan seiring peningkatan usia. 

Asheed tidak mena kan perkara itu. Pada usia menjangkau angka 50, dia berasakan perbezaan yang ketara terhadap keupayaan nyanyian, lebih-lebih lagi apabila melibatkan nada tinggi. 

“Itu bukan perkara luar biasa. Mana-mana penyanyi akan melalui perkara sama apabila usia mereka meningkat. 

“Ada juga masanya, saya terpaksa turunkan key agar selesa ketika menyanyikan lagu bernada tinggi. 

“Kita tidak boleh menipu diri. Kena tahu tahap kemampuan dan sesuaikan dengan faktor usia. Bukan senang nak menyanyi, lebih-lebih lagi pada umur sekarang. Kalau dapat kekalkan kemampuan, itu sudah dikira cukup bagus,” terangnya.

SERTAI GV SEBAB KELUARGA

Asheed mengakui, hatinya terbuka untuk menyertai GV9 kerana keluarga. Katanya, anak-anak adalah pembakar semangat yang tiada bandingannya. 

“Sebenarnya, hasrat untuk masuk GV sudah lama, cuma baru kali ini kesampaian. Antara sebab saya menyertainya adalah keluarga. Mereka yang mendorong saya. 

“Pada masa sama, saya mahu belajar sesuatu daripada program realiti ini. Saya yakin ia akan memberi impak besar kepada kerjaya,” katanya. 

Ujar Asheed, dia sudah bersedia, mental dan  fizikal untuk menerima teguran dan kritikan sepanjang program itu berlangsung. 

Katanya, sebagai penyanyi lama, dia perlu terbuka dalam menerima pandangan demi kebaikan.

“Komen dan tunjuk ajar membantu perkembangan kerjaya saya. Jangan rasa kita penyanyi lama tidak perlu kena kritik. Itukan sebahagian proses pembelajaran,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya