BALING: Banjir kali ketiga yang melanda Kampung Iboi di Kupang dekat sini bukan sahaja merosakkan harta milik Mashitah Ahmad, malah sekali lagi menghanyutkan bongkah bagi ternakan madu kelulut diusahakannya seperti 4 Julai lalu.
Mashitah, 48, menjadi buntu apabila 191 bongkah tersebut sebelum ini sudah dihanyutkan aliran air deras dan kali ini kira-kira separuh daripada 80 bongkah dan sarang kelulut itu tidak lagi berada di tapak ternakan sekitar rumahnya.
“Kali pertama pada 4 Julai lalu, sebanyak 191 bongkah dihanyutkan kepala air dan banjir lumpur dengan kerugian hampir RM200,000. Kali kedua pada akhir Julai tidak teruk banjirnya tetapi petang semalam (kelmarin) agak teruk dan mengalami kerugian hampir RM15,000.
“Saya telah mengusahakan projek madu kelulut ini sejak 10 tahun lalu sebagai pembekal dan bekalan itu dihantar hampir ke seluruh negeri,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, Kupang, semalam.
Hujan lebat kira-kira pukul 5 petang kelmarin mengakibatkan Kampung Iboi yang terletak berhampiran tebing Sungai Kupang dilimpahi air, malah jalan raya yang menghubungkan Jambatan Bailey yang dipasang sementara merentasi sungai itu turut rosak.
Jambatan berstruktur besi itu ditutup kepada semua kenderaan dan pejalan kaki ekoran mengalami perubahan daripada kedudukan asal serta didapati senget dipercayai akibat rempuhan kayu dan air yang deras.
Sementara itu, Mashitah berkata, dia dan suaminya, Rosni Said, 53, menggunakan kawasan sekitar rumah untuk mengusahakan projek madu kelulut tersebut dengan meraih hasil jualan sekitar RM3,000 hingga RM10,000 sebulan.
Namun, kali ini mereka rasa serik untuk memulakan semula projek ternakan madu kelulut yang baharu kerana bimbang dengan masalah banjir yang masih tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan.
“Segerakanlah atasi masalah projek ladang Musang King ini yang menjadi punca utama banjir kepala air pada 4 Julai lalu hinggalah ke hari ini dan mungkin hari-hari seterusnya jika dibiarkan tanpa sebarang tindakan atau usaha untuk mengatasinya.
“Sebagai penduduk dan mangsa banjir, kami amat trauma dan takut apabila setiap kali melihat cuaca mendung, kami mula memandang ke arah Gunung Inas, risau sekiranya hujan lebat dan banjir besar berlaku lagi,” katanya.
Dia yang sudah 30 tahun tinggal di rumah pusaka keluarga suaminya yang berusia lebih 90 tahun itu berkata, tidak pernah berlaku banjir seteruk itu melainkan sejak 4 Julai lalu.
Katanya, air sungai kini pula sentiasa keruh dan bukan lagi menjadi tempat penduduk kampung berkelah, bermandi-manda atau pun mencuci pakaian seperti tahun-tahun sebelum ini. – UTUSAN