KUALA LUMPUR: Petugas media mula berkumpul di Kompleks Mahkamah di sini, bagi mengikuti keputusan kes mengenai isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor terhadap pertuduhan rasuah berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid.
Kira-kira 40 pengamal media berkumpul berhampiran pekarangan mahkamah seawal jam 7 pagi dan masing-masing menunggu ketibaan Rosmah.
Rosmah akan mengetahui keputusan hari ini sama ada beliau disabitkan atau dibebaskan daripada pertuduhan rasuah berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak.
Selepas kira-kira empat tahun turun naik mahkamah, isteri bekas Perdana Menteri itu akan mengetahui ‘nasibnya’ yang akan ditentukan oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan. – UTUSAN