DUNGUN: Penduduk di Bukit Besi di sini kecewa apabila banyak artifak bersejarah berkaitan dengan industri perlombongan bijih besi pada tahun 1930 tidak dipulihara dan dilindungi oleh kerajaan.
Mereka mendakwa beberapa artifak termasuk terowong kereta api lenyap akibat aktiviti perlombongan bijih besi tidak terkawal sejak kawasan lombong tersebut dibuka semula pada tahun 2010 setelah ditutup pada 1971.
Pada masa sama, penduduk mengharapkan beberapa artifak yang masih tersergam di sekitar kawasan tersebut dapat dipertahankan untuk dijadikan bahan sejarah pada masa hadapan.
Pengerusi Koperasi Komuniti Bukit Besi Dungun Berhad, Roslan Taib, 60, berkata, tapak perlombongan besi di kawasan tersebut berpotensi dibangunkan sebagai pusat pelancongan terkenal termasuk di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, tapak perlombongan bijih besi di sini mempunyai banyak artifak yang cukup tinggi nilai sejarah dan mampu menarik kunjungan pelancongan tempatan dan luar negara.
“Bagaimanapun kebanyakan artifak tersebut seperti terowong kereta api, landasan kereta api dan tempat memproses bijih besi telah musnah dan lenyap,
“Namun, masih terdapat beberapa artifak dalam bentuk binaan seperti tempat pemecah dan memproses bijih besi, pejabat pentadbiran, tempat simpanan bijih besi, terowong gerabak dan cerobong asap yang perlu dipertahankan” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan aktiviti perlombongan bijih besi di Bukit Besi dekat sini yang didakwa dilakukan secara rakus dibimbangi memusnahkan artifak bersejarah terowong kereta api yang dibina di kawasan tersebut pada tahun 1930.
Setakat ini, kira-kira lima terowong tersebut lenyap sejak aktiviti perlombongan bijih besi dibuka semula di kawasan itu pada 2010 setelah ditutup pada 1971.
Roslan memberitahu, kawasan Bukit Besi sebelum ini juga terkenal sebagai perkampungan antarabangsa kerana menjadi tempat tinggal pekerja lombong bijih besi seperti warga British, Amerika Syarikat, Kenada, Australia, Belanda, Jerman, Afrika Selatan, Jepun, India dan China.
Tambahnya, ramai dalam kalangan bekas pekerja dan ahli keluarga mereka yang berkunjung semula di tapak lombong bijih besi itu
“Kunjungan pelancong di kawasan itu secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat,” ujarnya.
Sementara itu, seorang bekas pekerja lombong bijih besi tersebut, Embong osman. 86, berkata, beliau sedih apabila semakin banyak artifak bersejarah di tapak lombong tersebut telah musnah termasuk terowong kereta api.
Menurutnya, kerajaan sepatutnya mempertahankan artifak bersejarah itu untuk.tatapan generasi pada masa hadapan.
“Artifak tersebut juga sepatutnya dipulihara untuk dijadikan tarikan pelancong tempatan dan luar negara,” tambahnya.- UTUSAN