Pendakian  di Terengganu wajib guna khidmat malim gunung - Utusan Malaysia

Pendakian  di Terengganu wajib guna khidmat malim gunung

ARIFFIN Deraman bergambar bersama wakil penaja MTCC'22 di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Bermula 1 Januari tahun depan, semua individu yang mahu mendaki lima gunung di Terengganu akan diwajibkan menggunakan khidmat malim gunung perhutanan (MGP) untuk memastikan pendakian mereka selamat dan berjalan lancar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, lima gunung tersebut ialah Gunung Sarut di Setiu; Gunung Tebu (Besut); Gunung Chemerong (Berembun) dan Langsir (CBL) serta Bukit Bauk (Dungun) dan Gunung Bukit Tangga di Besut.

Menurutnya, buat masa ini, hanya lima gunung tersebut yang diwajibkan penggunaan khidmat MGP memandangkan aktiviti pendakian di situ mendapat permintaan tertinggi daripada peminat aktiviti lasak di Terengganu.

“Setakat ini, terdapat 120 MGP yang berdaftar dengan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dan jumlah itu masih mencukupi untuk menawarkan khidmat di lima gunung tersebut.

“Setiap MGP dibenarkan menjadi jurupandu kepada tujuh pendaki pada satu-satu masa dan kesemua mereka ini sangat terlatih dalam selok-belok hutan di Terengganu serta mempunyai kemahiran asas menyelamat di kawasan pergunungan,” katanya kepada pemberita selepas hadir menyaksikan majlis penyerahan penajaan Mount Tebu Climbathon Challenge 2022 (MTCC’22) di sini hari ini.

Baru-baru ini, Jabatan Perhutanan Malaysia mengeluarkan arahan aktiviti pendakian bukit atau gunung berketinggian melebihi 457.2 meter diwajibkan menggunakan MGP bermula Januari 2023.

Ariffin berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong mana-mana pihak yang berminat menganjurkan aktiviti atau pertandingan termasuk di kawasan pergunungan untuk melonjakkan lagi industri pelancongan berasaskan sukan di Terengganu.

“Saya dimaklumkan penganjuran MTCC’22 kali ini mendapat penyertaan 552 peserta dari seluruh Malaysia setelah kali terakhir diadakan pada 2013,” katanya.

MTCC’22 yang akan berlangsung pada Sabtu ini di Hutan lipur Lata Belatan, Besut menawarkan tiga kategori utama peserta dengan jarak 15.6 kilometer. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya