Pencuri duit tabung masjid diminta tampil runding, minta maaf - Utusan Malaysia

Pencuri duit tabung masjid diminta tampil runding, minta maaf

HAMZAH Mohamad menunjukkan wajah pelaku dalam kes kecurian duit tabung Masjid Kariah Tanah Datar, Chengkau, Rembau. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Pihak Masjid Kariah Tanah Datar, Chengkau di sini meminta seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian mencuri duit dari tabung masjid itu supaya tampil berunding dan memohon maaf.

Bilal masjid, Hamzah Mohamad, 63, berkata, video kejadian tersebut juga tular dalam media sosial yang jelas memaparkan aksi seorang lelaki yang tidak memakai pelitup muka sedang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Jelasnya, video berdurasi dua minit enam saat ditularkan sendiri beberapa ahli jawatankuasa masjid tersebut selepas kejadian itu berlaku pada 11 September lalu.

“Mungkin pelaku tersebut dalam keadaan tidak tentu arah, ada masalah rumah tangga dan perlukan wang. Jadi kami mahu tahu apa masalahnya dan dia pun boleh minta maaf dengan pihak masjid. Kami akan cari penyelesaian tanpa mengambil tindakan undang-undang.

“Pada bulan lepas juga ada juga kes kecurian duit dari tabung masjid dan kami difahamkan pelakunya sudah ditangkap di Johor baru-baru ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Jelasnya, hasil pemerhatian daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian tersebut berlaku pada waktu siang.

“Kami ambil masa tiga hari untuk melihat rakaman CCTV, kami sangkakan kejadian pada waktu malam, rupa-rupanya hari siang iaitu sekitar pukul 10.43 pagi,” katanya.

Hamzah berkata, dia hanya menyedari kejadian tersebut semasa ingin mengutip duit tabung selepas waktu Isyak dan mendapati mangga tabung sudah dipecahkan.

“Saya tidak tahu berapa jumlah wang yang dicuri tetapi apa yang penting sekarang ini, pihak masjid harap pelaku dapat datang ke masjid ini dan berbincang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, pihaknya masih belum menerima laporan berkenaan kejadian itu.

Bagaimanapun menurut beliau, polis menangkap seorang lelaki semalam di pekarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, Johor bagi membantu siasatan kes pecah tabung masjid yang sama yang berlaku pada bulan lalu.

“Tangkapan lelaki berusia 30 tahun dibuat pada pukul 1 petang. Dalam siasatan dijalankan, suspek mengaku terlibat dalam 13 kes pecah tabung masjid di sekitar Johor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya