Pencemaran babi: Saman kerajaan negeri - Utusan Malaysia

Pencemaran babi: Saman kerajaan negeri

PEMANDANGAN dari udara tapak ternakan babi yang terletak berhampiran pantai dicemari dengan bahan kumbahan haiwan tersebut dalam tinjauan pusat ternakan babi di Tanjung Sepat yang menjejaskan penduduk setempat. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) menyarankan penduduk Tanjung Sepat memfailkan saman terhadap Kerajaan Negeri Selangor, agensi dan jabatan berkuasa susulan berdepan masalah pencemaran dipercayai kumbahan ternakan babi di kawasan itu sejak 30 tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Damien Thanam Divean berkata, tindakan itu boleh diambil di atas kapasiti hak asasi manusia yang merangkumi akses kepada alam sekitar yang bersih dan bukan tercemar.

Katanya, ini kerana aspek itu diikitiraf Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNHRC) yang mana turut ditandatangani Malaysai bersama negara lain.

“Kita harap penduduk yang menderita bentuk satu jawatankuasa untuk saman kerajaan negeri, majlis daerah, Jabatan Veterinar daerah, Exco Alam Sekitar dan Jabatan Alam Sekitar negeri yang gagal memantau dan mengambil tindakan terhadap pencemaran selama tiga dekad.

“Langkah itu juga kerana mereka (tidak) segera bertindak memastikan ladang-ladang babi yang diluluskan di kawasan tersebut menjalankan perniagaan dengan kaedah mesra alam.

“Peka tidak menghalang penternakan babi, tetapi ia harus dilakukan bagi menjaga sensitiviti alam sekitar dan penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran terutamanya mereka yang beragama Islam,” katanya ketika dihubungi semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan penderitaan kira-kira 7,000 penduduk Tanjung Sepat berdepan masalah pencemaran dipercayai kumbahan ternakan babi di kawasan itu sejak 30 tahun lalu.

Selain bau busuk, air dalam parit dan anak sungai di sekitar kawasan berkenaan berwarna hitam pekat dan mengalir ke laut yang terletak kira-kira 30 meter.

Tinjauan di sekitar Kampung Ladang Tumbuk mendapati, kedudukan kandang babi di hanya terletak 50 hingga 200 meter dengan penempatan penduduk melibatkan sempadan Kuala Langat, Teluk Bunut serta Tanjung Sepat, di sini.

Terdapat 168 kandang ternakan babi di Kampung Ladang Tumbuk dengan anggaran 200,000 ekor babi diternak pada satu-satu masa untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Dalam pada itu, Damien Thanam berkata, kerajaan negeri juga perlu berhenti menyalahkan mana-mana pihak terutamanya pentadbiran sebelum ini.

Katanya, ini kerana kenyataan kerajaan negeri dan menteri besar yang sudah berulang kali menyatakan masalah pencemaran itu disebabkan pentadbiran terdahulu tidak boleh diterima.

“Pakatan Harapan (PH) telah tadbir Selangor selama tiga penggal, jadi apa guna tadbir tiga penggal jika masalah yang dibawa oleh pentadbiran lalu tidak dapat diselesaikan atau sedang diselesaikan.

“Operasi ladang babi kena lestari dan tidak boleh menjejaskan atau menyusahkan siapa-siapa sama ada manusai atau alam sekitar.

“Kerajaan negeri juga menggesa ladang babi yang tidak mengamalkan kaedah mesra alam sekitar itu untuk tanggung kos baik pulih, ini penting bagi menunjukkan kerajaan negeri tegas,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya