SUNGAI PETANI: Pemandu Proton Wira Aeroback yang terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan kematian seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan mencederakan seorang lagi dalam kejadian langgar lari, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Tertuduh, Nur Holis, 27, yang merupakan warga Indonesia membuat pengakuan itu sejurus selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret M. Kalaiarasi.
Berdasarkan pertuduhan, Nur Holis didakwa memandu kenderaan itu dalam keadaan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Nizam Shamsudin, 46.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 83.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara pada pukul 9.30 pagi 4 September lalu.
Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda minimum sebanyak RM20,000 dan maksimum sebanyak RM50,000.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya S. Priya manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin dan pasportnya ditahan sebelum menetapkan 28 September ini sebagai tarikh serahan dokumen.
Terdahulu, Muhammad Nizam yang bertugas sebagai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen di Depoh Tahanan Sungai Bakap, Pulau Pinang meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditungganginya dirempuh kereta dipandu suspek.
Kejadian itu turut mengakibatkan Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen di depoh sama, Zaili Nizam Muhammad, 43, patah kaki kanan kerana terlanggar motosikal rakannya yang jatuh di lorong kecemasan selepas dirempuh suspek.
Kedua-dua pegawai mereka menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki KLE650 dengan masing-masing dalam perjalanan ke Gurun.
Sebaik sahaja melanggar mangsa, suspek bertindak melarikan diri dan hanya menyerah diri di Pejabat Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik,Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada pukul 6.30 petang keesokkan harinya. – UTUSAN