PETALING JAYA: Pas sekali lagi menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) berikutan pengalaman persefahamannya sebelum ini dengan beberapa parti yang ada bersamanya.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas menolak mudarat politik yang lebih besar dalam PH dan lebih parah kesannya kepada negara yang boleh merobohkan asasnya, sehinggakan boleh mematahkan cabang-cabangnya yang penting.
Malah katanya, ia khusus melibatkan hubungan masyarakat majmuk menjadi rapuh dan menyentuh perkara negatif berkenaan dasar dan konsep negara yang lebih banyak dibandingkan dengan Barisan Nasional (BN).
“Keadaan sedemikian dapat dirasakan dalam tempoh PH memegang Kerajaan Pusat. Walaupun terlalu singkat masanya jika dibandingkan dengan BN yang paling lama dan panjang masanya memegang Kerajaan Pusat sejak merdeka sehingga ditolak oleh rakyat dalam PRU14 kerana salah laku dan rasuah.
“Ramai dalam kalangan PH yang tidak beriman (berakidah) dan bermoral (berakhlak) secara terbuka, mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah.
“Paling ramai pihak yang melompat parti bukan alasan yang berprinsip, tetapi mengejar janji-janji manis dan janji bohong (seperti rasuah juga). Mereka mengamalkan politik dendam melalui kenyataan terbuka yang mengganggu-gugat urusan pentadbiran negara dan menyusahkan badan kehakiman,” katanya dalam catatan Minda Presiden, hari ini.
Abdul Hadi berkata, dalam PH juga terkumpul kalangan mereka yang nyata bersikap anti-Islam, mengancam institusi raja-raja, rukun negara, dan asas-asas Perlembagaan Persekutuan khususnya kemuliaan Islam sebagai agama bagi persekutuan.
Bahkan dakwanya, terdapat juga kalangan yang fanatik bencikan Melayu dan bumiputera, tanpa peduli adanya hak terhadap agama lain dan berbagai-bagai kaum yang sudah mencukupi.
“Islam yang menjadi akidah perjuangan Pas menetapkan bahawa politik tidak berpisah daripada agama yang ada perhitungan dosa dan pahala serta dibawa ke alam akhirat. Maka, wawasan Pas tidak tamat sekadar melepaskan harapan di alam dunia.
“Pas tetap mempertahan hak Melayu, bumiputera dan Islam termasuk bahasanya menjadi teras kepemimpinan negara ini tanpa menghapuskan bangsa dan bahasa lain.
“Namun, Islam mengajar bangsa Melayu ini agar tidak bersikap fanatik perkauman yang dapat disaksikan dalam masyarakat Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, Pas menentang teori ‘Malaysian Malaysia’ dan menentang sikap fanatik perkauman kerana kedua-duanya bercanggah dengan Islam dan fitrah manusia.
Katanya, Pas menegaskan kalau ada sesiapa yang membuat kenyataan orang Melayu ini bersifat perkauman, halaukan dia kerana tidak mengenang budi.
“Bersama dalam PH, parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menegaskan ideologi sekularnya secara terbuka, sehinggakan mereka menolak prinsip agama dalam politik.
“Selain itu, ada dalam kalangan mereka yang bersikap pragmatik mahu berkuasa semata-mata tanpa ideologi yang ingin diperjuangkan, menyebabkan mereka menjadi hanyut dan mudah melompat,” katanya.
Justeru, Abdul Hadi berkata, pengalaman Pas bertahaluf siyasi dengan beberapa parti komponen dalam PH, memberikan suatu pengalaman yang cukup matang kepada parti itu untuk mengenalinya secara lebih dekat.
“Pas juga pernah bertahaluf dengan pihak lain sama ada berhaluan kanan mahupun kiri, sejak sebelum merdeka sehingga selepasnya. Pas tidak pernah sekali-kali melanggar perjanjian yang dimeteraikan dan tidak boleh diheret keluar daripada landasannya.
“Namun, Pas tetap utuh melangsungkan bahtera perjuangannya dan beberapa parti yang menjadi parti serpihannya hilang dalam lipatan sejarah. Pas tidak pernah rugi dari sudut ahli, pengikut dan pemimpinnya, walaupun beberapa kali kehilangan kerusi dan negeri yang pernah dimenangi,” katanya. – UTUSAN