JOHOR BAHRU: Golongan wanita berusia 40 tahun ke atas daripada keluarga B40 berpeluang menjalani ujian saringan awal bagi mengesan kanser payudara (mamogram) secara percuma di Hospital Pakar KPJ Johor, di sini.
Inisiatif tersebut dijayakan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCF) dengan kerjasama Yayasan Johor Corporation dan Lotte Chemical Titan (M) Sdn. Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif TLJCF, Mohd. Ikmal Izam Zaini memberitahu, inisiatif tersebut dilaksana pihaknya memandangkan kadar peratusan jumlah kes kanser payudara di negara ini menunjukkan peningkatan, khususnya melibatkan kanser payudara tahap 3 dan 4.
“Menerusi kerjasama ini, sebanyak 700 slot untuk melakukan pemeriksaan mamogram ditawarkan kepada wanita berusia 40 tahun ke atas dan datang daripada keluarga B40, iaitu dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM4,000.
“Pemeriksaan saringan mamogram percuma ini dibuat selari dengan penganjuran inisiatif ‘Think Pink’ yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kanser payudara, khususnya dalam kalangan wanita,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Think Pink di Hospital Pakar KPJ Johor, hari ini.
Program tersebut dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Hospital KPJ Wilayah Selatan, Asmadi Mohd. Bakri.
Bagi menjayakan program berkenaan, syarikat Lotte Chemical Titan menyumbangkan RM150,000 manakala Yayasan Johor Corporation turut menyumbangkan RM25,000.
Sementara itu, Tian Soon menyambut baik inisiatif yang dijalankan syarikat dan yayasan berkenaan dalam usaha membantu wanita daripada golongan B40 untuk mendapatkan pemeriksaan saringan awal mamogram.
“Menurut statistik, seorang daripada 30 wanita dijangka akan menjadi penghidap kanser. Jadi adalah penting agar pemeriksaan awal dapat dibuat, sama ada menerusi pemeriksaan kendiri mahupun pemeriksaan mamogram.
“Pemeriksaan tersebut boleh dilakukan di mana-mana hospital yang menawarkannya perkhidmatan berkenaan dan saya juga berterima kasih kepada Hospital Pakar KPJ Johor kerana menawarkan perkhidmatan tersebut pada harga yang berpatutan,” katanya. – UTUSAN