PUTRAJAYA: Meskipun sudah lebih 34 tahun berlalu, ‘drama’ pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas masih terus diperkatakan terutama oleh warga perundangan tempatan.
Cucu perempuannya yang kini berkhidmat sebagai peguam di sebuah firma swasta, Nuralissa Norrazak menyifatkannya sebagai kisah yang pahit untuk dikenang oleh ahli keluarganya.
“Saya belum lahir ketika peristiwa itu dan arwah pernah imbau sekali imbas semasa saya kecil tetapi tidak terlalu terperinci.
“Nenek dan ibu bapa saya sendiri pun tidak pernah sangat bercakap mengenai insiden 1988 itu, mungkin sebab terlalu pahit untuk dikenang dan agak peribadi untuk diperkatakan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini semalam.
Terdahulu, beliau diberikan penghormatan bagi mewakili ahli keluarga tokoh kehakiman itu untuk berucap pada sesi Prosiding Rujukan Tun Salleh di Istana Kehakiman di sini, yang diadakan sebagai tanda peringatan kepada Allahyarham.
Kes Salleh mendapat liputan luas media global kerana dipecat tanpa mengikut prosedur oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad susulan krisis Perlembagaan 1987 dan menyaksikan lima hakim Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan) digantung jawatan ekoran surat rahsia kumpulan 20 hakim kepada Yang di-Pertuan Agong.
Kemelut ini juga dikaitkan dengan pembatalan pendaftaran UMNO apabila pemilihan jawatan parti berkenaan didapati tidak sah setelah difailkan kumpulan pro-Tengku Razaleigh Hamzah.
Allahyarham Salleh yang kemudian menyertai politik dan menjadi wakil rakyat di Terengganu, meninggal dunia pada 16 Januari 2021 pada usia 91 tahun akibat kes Covid-19.
Salleh dilantik sebagai Ketua Hakim Negara keenam dari 1984 menggantikan Raja Azlan Shah yang ditabalkan sebagai Sultan Perak, sebelum beliau dipecat secara mengejut pada 1988 dan dinafikan segala pencen dan saguhati atas sumbangan perkhidmatannya.
Namun, Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 mengumumkan pengembalian semua segala hak tersebut serta permohonan maaf rasmi kerajaan Malaysia. – UTUSAN