Pemandu teksi mohon pinjaman mudah, faedah rendah

Pemandu teksi mohon pinjaman mudah, faedah rendah

HASSAN Abdul Karim (tengah) menerima surat permohonan sumbangan daripada Rahman untuk aktiviti persatuan teksi di Permas Jaya, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Persatuan Pemandu Teksi Pasir Gudang memohon pihak bank mewujudkan pinjaman mudah, cepat lulus berserta kadar faedah rendah, khususnya bagi mereka.

Pengerusinya, Rahman Arif berkata, ini kerana golongan berkenaan berdepan kesukaran membuat pinjaman sedangkan mereka perlu menukar teksi apabila sampai had maksimum penggunaan seperti ditetapkan dalam syarat lesen atau permit kenderaan.

“Usia teksi yang dibenarkan ketika ini hanya 10 tahun dan selepas itu pemandu perlu menggantikan dengan teksi yang baharu.

“Kita minta kerajaan menyalurkan dana berjumlah jutaan atau bilion ringgit dalam Bank Simpanan Nasional (BSN) atau mana-mana bank swasta untuk memudahkan pemandu teksi membuat pinjaman dengan kadar faedah serendah dua peratus,” katanya selepas mengadakan pertemuan antara pemandu dan wakil persatuan teksi dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim di Permas Jaya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rahman turut meminta kerajaan melanjutkan had usia teksi yang digunakan sekarang menjadi 15 tahun kerana tempoh satu dekad itu terlalu singkat.   

“Rata-rata pemandu teksi di Pasir Gudang berusia 60 atau 70 tahun, mereka susah membuat pinjaman bank atas faktor umur dan jika tukar teksi baharu tetapi had usia teksi tidak dipanjangkan, pembayaran balik dalam tempoh 10 tahun itu belum habis.

“Jadi, kami mencadangkan kerajaan memberi insentif pinjaman sebanyak RM5,000 kepada mereka untuk membeli teksi baharu. Masalah ini bukan sahaja dialami pemandu teksi di sini malah di seluruh negara.

“Selain itu, pemandu teksi juga terikat dengan pelbagai peraturan dan syarat tidak seperti pemandu e-hailing yang diberi banyak kelonggaran daripada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” jelasnya.

Sementara itu, Hassan memberitahu, terdapat layanan dua darjat diberikan terhadap pemandu teksi dan e-hailing.

“Contohnya, pemandu teksi perlu mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk insurans sebanyak RM232 setahun, manakala pemandu e-hailing diberikan diskaun 80 peratus dan hanya perlu membayar RM46.40 setahun.

“Pemandu teksi  juga berdepan masalah pendapatan yang terjejas selepas Covid-19 dan meminta kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri membantu dengan memberikan insentif.

“Semua masalah ini akan disuarakan dalam Parlimen yang akan bersidang mulai 3 Oktober depan bagi mencari penyelesaian kerana jika tidak ditangani, dibimbangi perkhidmatan teksi akan pupus pada masa depan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya