KANGAR: Minggu cuti persekolahan baru-baru ini menyaksikan Perlis penuh sesak ‘diserbu’ pelancong yang menjadikan negeri ini sebagai destinasi bercuti.
Perkembangan itu sekali gus merancakkan sektor pelancongan Perlis yang sebelum ini sering kali dikaitkan sebagai hanya lokasi transit pelancong ke Langkawi.
Di sebalik kerancakan tersebut, masih terdapat segelintir pengunjung tidak bertanggungjawab yang masih membuang sampah khususnya di lokasi-lokasi pelancongan di sekitar negeri ini.
Menurut data pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pahlawan Sampah Perlis dari Ogos hingga September, sebanyak lebih 1.4 tan metrik atau 1,400 kilogram sampah dikutip di beberapa lokasi pelancongan sekitar negeri ini.
Sebagai rekod, Pahlawan Sampah Perlis aktif menjalankan kerja-kerja sukarelawan mengutip sampah di kawasan pelancongan sekitar negeri ini sejak 2019.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,000 kilogram sampah dikutip di pesisiran pantai Kuala Perlis, Timah Tasoh (146 kilogram), Bukit Ayer (18 kilogram), Kurung Tengar, 300 kilogram dan beberapa lagi lokasi pelancongan lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pahlawan Sampah Perlis, Rosnani Nazri berkata, kebanyakan sampah yang dikutip itu terdiri daripada botol minuman, bekas makanan, bekas pembalut makanan, pelitup muka dan pelbagai jenis sampah plastik.
Katanya, kesedaran segelintir pengunjung membuang sampah di tempat sepatutnya dilihat masih kurang.
“Kesedaran dilihat masih kurang dan sepatutnya kita perlu menjaga kebersihan ketika lokasi-lokasi pelancongan di Perlis mula menjadi tumpuan. Kesedaran ini perlu dipupuk di rumah,” katanya.
Sementara itu, Rosnani memberitahu, sepanjang tiga tahun menjalankan aktiviti sukarelawan mengutip sampah, sebanyak 33.3 tan atau lebih 33,000 kilogram sampah telah dikutip di kawasan pelancongan negeri ini.
Katanya, daripada jumlah tersebut, Kuala Perlis merekodkan jumlah tertinggi iaitu 22.8 tan metrik atau 22,800 kilogram sampah dikutip.
“Selalunya apabila dibersihkan khususnya di Kuala Perlis, sampah akan timbul balik memandangkan masih ramai membuang sampah di kawasan itu termasuk di bawah-bawah rumah yang kemudian akan menyebabkan ia hanyut ke pesisiran pantai.
“Walaupun pelbagai inisiatif dan kempen dilakukan namun penduduk juga perlu mengubah mentaliti dan berdisiplin supaya tidak membuang sampah sesuka hati,” katanya.
Tambah Rosnani, NGO dan jabatan-jabatan terlibat perlu memperbanyakkan lagi program-program kesedaran mengenai isu tersebut.
“Kalau dilihat, tong sampah berpusat juga disediakan namun masih ada dalam kalangan masyarakat yang membuang sampah di bawah-bawah rumah itu.
“Mungkin kerana ada yang sudah terbiasa dengan tindakan itu dan mentaliti tersebut perlu dibuang,” katanya.- UTUSAN