BATU KAWAN: Seorang pekerja binaan warga Bangladesh maut dihempap paip pemercik di tapak projek pembinaan di Taman Perindustrian Batu Kawan, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja pemasangan sistem pencegahan kebakaran pada bangunan yang masih dalam pembinaan.
Katanya, mangsa dipercayai dihempap oleh paip pemercik disandarkan pada ‘scissor lift’ yang tiba-tiba terjatuh dan terkena kepalanya.
“Susulan kejadian itu, satu notis larangan dikeluarkan dan lokasi kejadian disita serta-merta sehingga siasatan selesai dijalankan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, tindakan perundangan akan diambil terhadap pihak berkenaan sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. – UTUSAN