KULAI: Pekebun kecil sawit disaran mengambil peluang melakukan penanaman integrasi membabitkan tanaman lada hitam dan lada putih serta koko di ladang sedia ada bagi membantu meningkatkan pengeluaran produk huluan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, projek integrasi produk sampingan itu secara tidak langsung membantu merancakkan lagi pembangunan hiliran sektor lada dan koko yang semakin mendapat tempat.
Katanya, inisiatif itu juga dapat memberi sumbangan signifikan terhadap pembangunan ekonomi negara dengan meningkatkan eksport bahan mentah di peringkat huluan yang disifatkan masih lemah.
“Ini merupakan usaha yang baik bagi meningkatkan eksport bahan mentah. Ini kerana bahan mentah kekurangan kerana aktiviti-aktiviti menanam di peringkat huluan lemah.
“Kita mahu mempertingkatkan daripada segi penglibatan penanam peringkat huluan, barulah kita dapat hasil di peringkat hiliran dan dapat eksport, mendatangkan hasil kepada negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Jelajah Agrikomoditi Keluarga Bersama Sektor Huluan Agrikomoditi Koko dan Lada di Felda Inas, di sini hari ini.
Zuraida berkata, komoditi koko dan lada semakin mendapat permintaan, bahkan jenama coklat terkenal antarabangsa seperti Govida turut mendapatkan sumber koko negara.
Kerajaan telah mengehadkan pengembangan kawasan penanaman kelapa sawit agar tidak melebihi 6.5 juta hektar dan hingga kini, seluas 5.8 juta hektar telah dibangunkan.
“Program integrasi ada potensi, kalau tengok ladang sawit kita sudah 5.8 juta hektar (dibangunkan). Jadi, kalau kita gunakan satu juta hektar sekali pun sudah lumayan untuk dapat hasil koko atau lada hitam dan lada putih,” katanya.
Pihaknya juga akan mengadakan mesyuarat dengan syarikat besar seperti Felda, Sime Darby dan IOI Corporation Bhd., bagi cadangan untuk mengamalkan projek integrasi seumpama itu.
Orang awam yang turut mempunyai tanah terbiar boleh terlibat sama dalam penanaman koko dan lada ini menerusi program kebun Komuniti yang akan diwujudkan selepas ini. – UTUSAN