Peguam nafi Najib terima layanan istimewa, persoal kod nama 'Merpati' - Utusan Malaysia

Peguam nafi Najib terima layanan istimewa, persoal kod nama ‘Merpati’

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah menafikan Datuk Seri Najib Tun Razak yang dirujuk dengan kod nama ‘Merpati’, menerima layanan istimewa ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pemantauan lanjutan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).

Sambil menyifatkan perkara itu sebagai mengarut, peguam tersebut turut mempersoalkan apa maksud `merpati’ yang ditularkan dalam media sosial yang dikatakan merujuk kepada anak guamnya.

“Apa ‘merpati’? Jika Najib mendapat layanan istimewa, sudah tentu beliau akan diberi bilik khas untuk makan tengahari di mahkamah ketika prosiding berhenti rehat.

“Sangat mengarut. Ia adalah bilik standard (di HRC) bagi sesiapa sahaja yang memerlukan rawatan dari penjara,” ujar beliau kepada wakil media ketika ditemui sewaktu prosiding perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan hingga petang.

Najib, 69, sedang dibicarakan terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Muhammad Shafee ditanya dakwaan layanan istimewa kepada Najib antaranya membabitkan pengubahsuaian ruang penjara dan rancangan untuk membawanya ke HRC bagi memudahkannya menerima tetamu dan mendapat kemudahan orang kenamaan (VIP).

Peguam itu selanjutnya menjelaskan, beliau harus melalui prosedur yang sama seperti berurusan dengan banduan lain ketika melawat Najib pada Sabtu dan Ahad lalu selepas pulang dari Melbourne.

“Jadi apa yang istimewanya saya tidak faham. Mungkin berhubung makanannya kerana tidak boleh makan pedas dan berminyak disebabkan oleh ulser yang dihadapi.

“Keadaan ulser tersebut teruk manakala berat badan beliau menurun. Secara umum mereka memantau pemakanannya,” ujar peguam itu.

Muhammad Shafee berkata, Najib menjalani rawatan fisioterapi di HRC yang keadaan kesihatan seperti masalah lutut dan belakang yang dihadapinya sebelum ini.

Katanya, Najib disyorkan menerima rawatan di HRC kerana rawatan diterima di HKL tidak memadai.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd.

Beliau dimasukkan ke HKL minggu lalu dan dikatakan menghadapi masalah ulser perut dan darah tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya