KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam perkembangan bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sentiasa berusaha memperkasa bidang sains, teknologi, dan inovasi (STI) kerana ia dianggap sebagai pemboleh daya kepada pemantapan sosioekonomi negara.
Disebabkan itu, katanya, Petronas menjadi penyokong kuat kepada usaha tersebut dan melaksanakan pelbagai inisiatif serta program bagi memupuk minat pelajar dalam bidang STEM bermula dari sekolah rendah.
“Saya memandang serius tentang bilangan pelajar dalam bidang STEM yang kini berada pada kadar 47 peratus dan Sains Tulen pada 19 peratus dengan meneliti Hala Tuju STEM sebagai persediaan rapi mengharungi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).
“Kita harus memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam bidang STEM untuk terus kekal mampan dan berdaya saing di peringkat global,” katanya ketika merasmikan majlis penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2022 di ibu sini, hari ini.
Katanya, Petronas turut melaksanakan Skim Peningkatan Kebolehpasaran Graduan (GEES) bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan baharu, sama ada menceburkan diri dalam bidang pekerjaan atau berniaga sendiri setelah selesai mengikuti program berkenaan.
“Setakat ini, Petronas melatih lebih 4,000 graduan tempatan yang mana 70 peratus daripadanya berjaya mendapat pekerjaan tetap dalam bidang yang diceburi mereka.
“Saya turut dimaklumkan Petronas turut menyokong program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Program (TVET) yang menjadi keutamaan negara bagi menyedikan bakat masa depan,” katanya.
Selain itu, melalui Bantuan Penajaan dan Latihan Institusi Vokasional (VISTA), seramai 11,450 belia di seluruh negara menerima pelbagai bantuan termasuk perkakasan, bantuan pembelajaran dan latihan serta khidmat nasihat. – UTUSAN