DIA seorang influencer yang menjadi influencer sebelum perkataan itu tiba di Malaysia. Namanya Anwar Hadi.
Saya kenal Anwar sebagai vlogger yang sama-sama naik dengan Mat Luthfi dahulu sebelum sebagai gitaris Pasca Sini.
Dalam Pasca Sini, Anwar yang paling ‘tak senang’ apabila bergambar. Malah, semasa saya menemu bual Pasca Sini bersama A. Limin dan Motherwit dahulu, Anwar ada tetapi dia tidak bergambar sekali.
Pasca Sini hanya diwakili Aqmal dan Syawal dalam gambar itu. Semasa temu bual, Anwar akan berhati-hati menyusun perkataan. Seperti adiknya, Aqmal, bila cakap Melayu loghat utaranya pekat.
Bila cakap Inggeris dia lancar, malah ada telor. Jenakanya pula perlu empat, lima saat untuk kita faham. Saya boleh kata Anwar ada personaliti unik. Dia popular kerana sering swarakam dirinya sambil bercakap itu, ini.
Dia juga pernah ada audio siar, tetapi tidak banyak cakap. Dia ada kugiran pop punk, tetapi wataknya budiman.
Begitulah yang dapat saya simpulkan tentang lelaki ini, hasil interaksi ringkas dengannya beberapa kali.
Sayang sebab tidak lama lagi, Anwar akan meninggalkan Pasca Sini untuk mengejar cita-citanya sebagai penulis di negara orang.
SELAMANYA PEMUZIK
“Aku tak mahu berhenti (bermuzik). Aku akan keluarkan lagu sendiri, bawah nama (mungkin kugiran) sendiri.
“Semuanya lebih untuk aku sendiri. Untuk ada satu ruang kreatif yang bukan benda-benda lain yang aku buat.
“Aku akan teruskan, tak tahu Pasca-Anwar Hadi sama ada akan buat kugiran atau tak. Aku dah tulis lagu sejak umur 18, cuma tak ada orang dengar. Mungkin tak yakin untuk lancarkan betul-betul,” kata Anwar.
Ia sedikit-sebanyak mengesahkan teori saya yang seorang pemuzik sangat sukar untuk berhenti jadi pemuzik.
Apa-apapun, masa hadapan kekal misteri. Kita tidak tahu apa akan jadi pada Anwar sebagai pemuzik nanti, tetapi dia ada impian untuk melihat Pasca Sini terus maju.
“Selepas ini, setiap kali aku tengok stories, mereka buat persembahan, aku akan terus jadi peminat dan rindu perasaan atas pentas itu.
“Pasca Sini bagi aku kugiran yang bagus, yang buat lagu-lagu bagus. Untuk tak lagi bersama, tak dapat kaitkan diri aku dengan mereka, rasa ada kekurangan dalam hidup aku.
“Aku harap mereka boleh pergi sejauh mungkin, seberapa jauh yang kugiran tempatan boleh pergi sebab aku tahu mereka boleh.
Aku harap Pasca Sini boleh jadi kugiran yang orang nak tengok, nak dengar dan nak beli muzik mereka,” kata Anwar.
EP BAHARU, ALBUM BAHARU
Bulan lalu, Pasca Sini memaklumkan yang album sulung mereka, Emo Department telah diturunkan dari platform digital.
Untuk itu, mereka cetak album fizikal dan ia dijual bersama cenderamata dalam bentuk set kotak.
Dengan keberangkatan Anwar, pastilah album fizikal itu menjadi lebih berharga kerana Emo Department ialah air tangan terakhir Anwar bersama Pasca Sini.
Setakat ini, Pasca Sini memutuskan untuk terus bergerak berempat tanpa mencari pengganti Anwar. Aqmal (bass), Thoriq (gitar), Syawal (vokal) dan Palie (dram) akan meneroka bunyi dan perasaan menjadi kugiran empat orang dan produk pertama mereka sudahpun dalam pembikinan.
Mereka akan tinggalkan 2022 dengan sebuah EP empat lagu yang kesemuanya merupakan saduran. Selepas itu, mungkin tahun hadapan, kita akan dihadiahkan pula dengan album kedua mereka yang kini dalam proses penulisan lagu.
“Untuk aku, bergerak berempat itu lebih baik, lebih style. Aku suka pada idea itu.
“Untuk kami cari pengganti bukan mudah, perlu ada keserasian dan aku perlu pastikan pengganti itu lebih baik daripada aku dan Anwar, baru berbaloi nak ambil,” kata Thoriq.
“Untuk album kedua, kami empat orang dahulu. Seterusnya, kita tengok macam mana,” jelas Boy.
SELAMAT JALAN
Pada 23 September ini, sebuah gig istimewa akan diadakan di Moutou, Kuala Lumpur sebagai ucapan selamat jalan kepada Anwar.
Bersama rakan mereka, W/SH yang akan beraksi sebagai kugiran pembuka, gig itu akan menjadi persembahan terakhir Anwar bersama Pasca Sini.
Anda masih boleh dapatkan tiket melalui media sosial Pasca Sini. Kita sama-sama penuhkan Moutou dan beri kenangan terindah buat Anwar.