Paip diminta selesai isu paip bocor di Chini

Paip diminta selesai isu paip bocor di Chini

chini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Kebocoran di banyak bahagian pada paip utama di Chini di sini menjadi punca tekanan air di kawasan itu menjadi rendah sehingga tidak mampu sampai ke kawasan pedalaman termasuk perkampungan Orang Asli.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Mohd. Sharim Md. Zain berkata, di peringkat awal, penyaluran air dari Loji Air Chini di Kampung Dusun di sini dibuat membabitkan 3,500 rumah dalam kawasan tanah rancangan Felda di Chini.

Katanya, selepas itu baharu ia disambungkan untuk disalurkan di kampung Orang Asli terlibat antaranya Tasik Mentiga, Tanah Merah dan Gumum.

“Disebabkan banyak paip utama bocor di Chini, tekanan air rendah dan sukar sampai ke kawasan-kawasan Orang Asli yang terletak jauh.

“Saya harap pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) mengambil tindakan segera perkara ini untuk jangka masa panjang bagi menyelesaikan isu bekalan air di kawasan masyarakat Orang Asli di Chini,” katanya di sini semalam.

Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan penduduk di perkampungan Orang Asli Kampung Pulau Bangau di Tasik Mentiga, Chini di sini begitu ‘dahagakan’ bekalan air bersih kerana selama empat generasi sejak kampung itu dibuka pada 1897 mereka belum menikmatinya.

Sehingga kini, lebih 200 penduduk masyarakat Orang Asli etnik Jakun di situ bergantung kepada anak sungai, perigi dan telaga sebagai sumber air bagi kegunaan harian untuk mandi, membasuh, memasak dan minum.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Orang Asli Kampung Pulau Bangau, Hadi Boy Ahong, 42, berkata, penduduk di situ merasakan seakan terpinggir apabila masih tidak mempunyai kemudahan asas itu.

Hadi berkata, permohonan telah lama dibuat bermula 1999 hingga 2004, namun ia hampa umpama menunggu bulan jatuh ke riba.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharim berkata, masalah air di Chini termasuk dalam perkampungan Orang Asli menjadi keutamaannya yang turut dibawa pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Memang, dalam tiga ke empat bulan ini, saya sering terima aduan berlaku masalah air yang sangat kritikal sehingga putus bekalan air selama dua hingga ke tiga minggu.

“Saya harap pihak Paip akan melihat perkara ini dengan segera supaya penyelesaian yang dibuat untuk jangka masa panjang,” katanya.

Bagi kawasan Orang Asli, beliau berharap pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengambil berat soal kebajikan dan permasalahan dihadapi masyarakat terbabit.

“Saya harap pihak Jakoa Pekan ambil berat masalah Orang Asli di DUN Chini dan perlu senaraikan segala keluh kesah termasuk isu air dan salurkan kepada pihak berwajib.

“Saya sebagai wakil rakyat setempat juga akan memainkan peranan saya bagi mengangkat isu ini untuk diselesaikan dengan sokongan dan kerjasama Jakoa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya