Padah buka klinik gigi haram, warga China didenda RM25,000 - Utusan Malaysia

Padah buka klinik gigi haram, warga China didenda RM25,000

JIANG Jun Ying (kiri) didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka kerana menjalankan operasi klinik pergigian haram. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang warga China didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menjalankan perniagaan klinik pergigian haram.

Tertuduh, Jiang Jun Ying, 33, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyediakan sebuah klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis bernombor di Jalan Laksamana Cheng Ho dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 3.25 petang pada 6 Disember 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta 586 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5 (1) (a) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM300,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan, Nozaizeli Abu Samah memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana aktiviti pemutihan gigi yang dilakukan oleh individu tidak berkelayakan boleh menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan.

Peguam Jagdeep Kaur merayu agar hukuman ringan dikenakan dengan alasan anak guamnya sudah menyesal dan tidak mengetahui aktiviti yang dijalankan itu menjadi satu kesalahan undang-undang di negara ini.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM25,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya