PAC kumpul bukti kes OPV Maritim Malaysia

PAC kumpul bukti kes OPV Maritim Malaysia

Kapal OPV Maritim Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan keperluan me­nyiasat isu pembinaan tiga buah Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa PAC, Ahmad Hassan berkata, PAC kini sedang mengumpul maklumat berhubung kes itu kerana difahamkan turut berdepan masalah sama seperti projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“PAC akan mengadakan mesyuarat dan sekarang kita kumpul maklumat terlebih dahulu bagi membolehkan kita menentukan sama ada terdapat keperluan untuk menjalankan siasatan ke atas pihak berkaitan pembinaan OPV atau sebaliknya. Penelitian juga akan dibuat secara menyeluruh.

“Ketika ini, PAC masih belum menjalankan sebarang siasatan secara rasmi membabitkan isu kelewatan projek berkenaan namun, kita akan lihat dan bincang secara bersama dalam mesyuarat nanti. Kita juga akan menilai keperluan untuk menyiasat kerana ketika ini masa semakin suntuk proses siasatan.

“Saya cakap begitu kerana khuatir siasatan akan terhenti di tengah jalan sekiranya Parlimen dibubarkan. Jadi kita kena tengok perkara ini dan jika pihak lain yang dilantik menjadi ahli PAC selepas ini, saya harap siasatan dapat diteruskan sehingga selesai jika kita mulakan sekarang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada PAC akan melakukan siasatan selepas diberikan ruang sepenuhnya untuk menyiasat isu pembinaan tiga buah OPV milik Maritim Malaysia menimbulkan kebimbangan projek itu berdepan masalah sama seperti projek LCS milik TLDM.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan sentiasa bersikap terbuka dan langsung tidak menghalang PAC menjalankan siasatan terhadap sebarang isu.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, tiga kapal OPV masih dalam pembinaan dan kapal OPV 1 dijangka diserahkan kepada Maritim Malaysia awal tahun depan manakala OPV 2 dan OPV 3 diserahkan secara berperingkat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN