KANGAR: Gandingan Nurul Izzah Anwar selaku Pengerusi PKR negeri bersama timbalannya, Noor Amin Ahmad bakal membawa pembaharuan terhadap landskap politik di negeri ini.
Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perlis yang bermesyuarat buat kali pertama baru-baru ini mengumumkan pelantikan Naib Presiden PKR itu bagi mengetuai parti itu di negeri ini khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijangka tidak lama lagi.
Ketua Penerangan PKR negeri, Nor Azam Karap berkata, gandingan dua pemimpin politik muda itu dalam menerajui PKR Perlis dilihat bakal membawa pembaharuan terhadap parti.
“Seluruh anggota PKR Perlis percaya dan yakin bahawa anggota MPN yang baharu di bawah pimpinan Nurul Izzah dan dibantu Noor Amin akan dapat menggarap seluruh kekuatan anggota parti sekali gus melonjakkan tahap kesediaan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU15,” katanya di sini hari ini.
Pada 11 Ogos lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebagai Pengerusi MPN di tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Anwar dilaporkan berkata, pelantikan Nurul Izzah dipersetujui selepas pihaknya mengadakan pertemuan bersama ketua-ketua cabang di negeri tersebut.
Dalam pada itu, Nor Azam berkata, pelantikan dua pemimpin itu juga mencerminkan semangat inklusif dalam PKR di mana keanggotaan MPN terdiri daripada pelbagai kaum, jantina, usia dan latar belakang pekerjaan.
“Pemilihan ini juga adalah selaras dengan keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk menyegerakan pelantikan MPN negeri dan memastikan seluruh jentera PKR bersedia menghadapi PRU15,” katanya.
Tambah beliau, mesyuarat MPN Perlis juga telah menetapkan tugas dan persiapan yang perlu dilakukan oleh jentera PKR negeri ini bagi menghadapi PRU15 yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa. – UTUSAN