KUALA LUMPUR: “Ia adalah idea untuk menghasilkan sebuah filem aksi yang mengetengahkan seni mempertahankan diri yang ‘tidak masuk akal”.
Itu gambaran diberikan pengarah, James Lee berkenaan filem terbaharu arahannya, Kill Fist.
James, dalam satu kenyataan yang dikongsikan kepada Utusan Malaysia berkata, elemen tersebut adalah antara keistimewaan yang diketengahkan dalam filem itu yang ditayangkan sempena Bulan Kemerdekaan di platform penstriman, Netflix.
“Ia seperti filem Kill And Kill Again yang dihasilkan sekitar tahun 1980-an.
“Saya tumpukan kepada elemen kekeluargaan dan menggunakan sebuah kisah yang ‘menghalalkan’ aksi (mempertahankan diri) sebagai inspirasi bagi cerita ini.
“Kami, pada setiap Sabtu, berlatih bersama-sama untuk menguasai koreografi yang telah dihasilkan untuk filem ini,” katanya.
Selain menggalas tanggungjawab sebagai pengarah, James turut memainkan peranan sebagai penulis skrip filem tersebut.
Kill Fist menampilkan barisan pelakon hebat seperti Sunny Pang, Alan Yun, Koe Yeet, Mike Chuah dan Pearlly Chua.
Sempena Bulan Kemerdekaan juga, Netflix turut menampilkan sebuah filem arahan pengarah muda, Feisal Azizuddin bertajuk Ceroboh.
Filem aksi thriller itu menceritakan tentang pencerobohan makhluk asing di bumi dan survival enam sahabat untuk terus hidup dalam suasana menakutkan.
Ia menampilkan barisan seperti Mia Sara Shauki, Kent Tan, Grace Ng, Nia Atasha, Syazani Fikry, Sasidaran dan Charles Robert.