KOTA BHARU: Seorang wanita berusia 83 tahun membuktikan kejaguhannya apabila menjuarai pertandingan congkak kategori veteran anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Mukim Tembesu, Pasir Tumboh, di sini semalam.
Menariknya, warga emas berkenaan, Saodah Deraman merangkul kejuaraan tersebut selepas 15 tahun tidak bermain permainan berkenaan akibat kemalangan jalan raya yang menyebabkan dia terlantar.
Saodah berkata, dia sama sekali tidak menyangka akan muncul juara selepas berdepan cabaran sengit daripada peserta lain.
Menurutnya, dia menyertai pertandingan tersebut selepas dipelawa oleh penduduk untuk sama-sama memeriahkan pertandingan tersebut.
“Walaupun sekadar mencuba nasib, namun saya bersyukur kerana berjaya merangkul kejuaraan tersebut. Walaupun sekadar hamper namun ia cukup bermakna.
“Dengan adanya pertandingan ini saya dapat mengasah semula bakat bermain congkak yang sudah lama ditinggalkan,” katanya.
Saodah memberitahu, dia berharap sukan rakyat sebegini dapat terus dianjurkan pada masa hadapan supaya ia terus kekal subur dalam kalangan generasi muda.
Katanya, generasi muda perlu terus mewarisi permainan ini kerana ia mampu mengasahkan daya pemikiran dan menyusun strategi untuk muncul juara.
“Jika kita tidak pertahankan permainan tradisi ini, siapa lagi yang akan berbuat demikian.
“Walaupun di zaman serba moden, namun permainan ini perlu terus dipermosikan agar terus kekal subur dalam kalangan masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN