KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mengemukakan aduan kepada AmIslamic Bank berhubung transaksi keluar masuk dana daripada akaun peribadi miliknya meskipun bank menghantar penyata kepada pelanggan setiap bulan.
Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi berkata, 43, Najib tidak pernah membuat aduan kepada bank berkaitan salah urus akaunnya pada bila-bila masa termasuk ketika perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International.
Saksi pendakwaan ke-37 berkata, beliau tidak mengetahui sama ada bekas Perdana Menteri pernah memfailkan tindakan undang-undang terhadap bank itu dalam tempoh di antara 2015 dan 2018.
“Bank mempunyai sistem yang mana penyata akaun dihantar kepada pelanggan setiap bulan, namun beliau (Najib) tidak pernah mengemukakan aduan berhubung pengurusan akaunnya,” ujar Uma Devi.
Pengurus bank itu menyatakan demikian ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada sesi pemeriksaan utama perbicaraan terhadap bekas Perdana Menteri.
Ketika ditanya Sri Ram, Uma Devi memberitahu, sepanjang pengetahuannya, keterangan beliau diterima oleh Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes SRC International dan juga di peringkat rayuan.
Terdahulu, mahkamah diberitahu, Najib perlu dirujuk ke Hospital Kajang dekat sini bagi menerima rawatan ekoran keadaan kesihatannya yang agak teruk.
Sri Ram berkata, pegawai penjara memaklumkan kepadanya bahawa ubat tekanan darah tinggi yang diambil oleh bekas Perdana Menteri ditukar sehingga memberi kesan kepada tahap kesihatannya.
Sehubungan itu, Sri Ram memohon perbicaraan terhadap Najib pada sebelah petang ditangguhkan bagi membolehkan beliau menerima rawatan di hospital pada pukul 2 petang.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan itu dan menetapkan perbicaraan disambung esok seperti yang dijadualkan.
Turut hadir mengikuti prosiding perbicaraan hari ini ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, 70, dan anak perempuan mereka, Nooryana Najwa, 34.
Najib, 69, sedang dibicarakan terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN