Najib masuk hospital, dalam pemerhatian doktor 

Najib masuk hospital, dalam pemerhatian doktor 

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjalani hukuman penjara 12 tahun setelah disabitkan bersalah kerana menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd., dimasukkan ke hospital di ibu negara hari ini. 

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, pegawai khasnya, Muhammad Mukhlis Maghribi berkata, ahli Parlimen Pekan itu dalam keadaan stabil dan sedang melalui kesemua pemeriksaan perubatan yang diperlukan. 

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu penyakit yang dialami Najib dan masih dalam pemerhatian doktor. 

“Ya, Datuk Seri masih dan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur. Beliau dalam keadaan stabil. Saya ingin berterima kasih kepada pihak penjara dan hospital atas kerjasama dan bantuan yang diberikan,” katanya ketika dihubungi. 

Najib, 69, memulakan hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang dan denda RM210 juta bermula 23 Ogos lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atasnya dalam kes SRC International. 

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengekalkan sabitan salah yang dikenakan terhadap bekas Presiden UMNO itu. 

Keputusan tersebut menjadikan Najib sebagai bekas perdana menteri Malaysia yang pertama dihukum penjara dan menjadi tumpuan seluruh dunia.

Isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pula pada Jumaat lalu dijatuhi  hukuman 10 tahun penjara dan denda RM970 juta oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah meminta suapan RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya