ALOR SETAR: Selepas Kelantan, Terengganu dan Kedah yang mahu menggunakan lambang ‘bulan’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), giliran Selangor menyuarakan keinginan sama demi memastikan misi merampas negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH) berjaya.
Permintaan itu disuarakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Noor Najhan Mohamad Salleh ketika sesi perbahasan mewakili negeri itu sempena Muktamar Tahunan Pas ke-68 di sini, hari ini.
Beliau berkata, pendekatan itu juga adalah salah satu cara untuk memastikan PH tidak lagi menjadi kerajaan di Selangor pada pilihan raya akan datang.
“Dalam konteks Selangor ada dua pendekatan yang ingin saya cadangkan, pertama berunding dalam gabungan Muafakat Nasional (MN) selain Perikatan Nasional (PN) untuk menyelesaikan pembahagian kerusi secara saskama demi bertanding satu lawan satu.
“Kedua, Pas Selangor sebagaimana permintaan beberapa negeri yang lain termasuk Kedah turut mohon izin untuk bertanding menggunakan lambang Pas dalam PRU15,” katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden di Kompleks Pas Kedah di sini, hari ini.
Menurut Noor Najhan, penggunaan logo Pas penting jika parti itu serius mahu memainkan peranan sebagai pendamai agar dilihat tidak memihak tetapi mesra kepada semua pihak.
“Rakyat Selangor khasnya umat Melayu tidak akan menolak PH melainkan kita mengamalkan politik penyatuan ummah,” katanya.
Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya akan mempertimbang semula penggunaan logo PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana menyedari suara tidak puas hati dalam kalangan akar umbi partinya.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula memberitahu satu mesyuarat akan diadakan minggu depan berkaitan penggunaan logo Pas melibatkan negeri di bawah pimpinannya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Muhyiddin berkata, perkara itu antara yang akan dibincangkan oleh Majlis Tertinggi PN sebagai salah satu strategi menghadapi PRU15. – UTUSAN