PETALING JAYA: Satu sindiket penyeludupan minuman keras tumpas selepas dua individu ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam serbuan berasingan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.
Serbuan yang dilakukan JKDM, Zon Tengah Unit Satu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) turut merampas dua kontena mengandungi minuman keras pelbagai jenama anggaran keseluruhan nilai cukai rampasan RM1.56 juta.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad, dua individu yang ditahan merupakan ejen penghantaran.
Kata beliau, bagi kes pertama, satu kontena telah ditahan pada 23 Ogos lalu sebelum menyita satu kontena bersaiz 40 kaki serta menahan seorang ejen penghantaraan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.
“Hasil pemeriksaan ke atas kontena menemukan sebanyak 25,920 liter minuman keras bernilai sebanyak RM207,360 membabitkan jumlah cukai duti RM710,730.
“Setiap kontena yang diimport memerlukan lesen import dan setem cukai,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam di Kelana Jaya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, minuman keras itu merupakan barangan larangan di bawah Butiran 3 Jadual Ketiga, Bahagian 2 Perintah Kastam Larangan Mengimport 2017.
Bagi kes kedua, kata beliau, sebuah lagi kontena telah disita pada 25 Ogos lalu di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.
“Di situ, kita menemukan minuman keras pelbagai jenama sebanyak 16,710.66 liter dengan anggaran nilai RM127,450 membabitkan jumlah duti dan cukai yang terlibat berjumlah RM513,684,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammad Sabri, modus operandi sindiket berkenaan adalah mengikrarkan barangan itu di dalam Borang Kastam 1, dipercayai dibawa daripada dari Asia Timur. – UTUSAN