JOHOR BAHRU: MIC diminta melaksanakan sistem barter trade atau pertukaran sekiranya parti berkenaan mahu bertanding di Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, sistem tersebut sesuai dilakukan setelah pihaknya memberikannya laluan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) lain bertanding di Parlimen berkenaan.
“Jika Presiden atau Timbalan Presiden MIC sendiri sanggup jadi calon, saya sedia membantu. Saya rela berkorban demi kepentingan rakan-rakan dalam BN.
“Tetapi MIC juga perlu berkorban. Bila saya setuju beri laluan kepada MIC di Pulai, kita kenalah buat sistem barter trade. Saya dan UMNO berkorban kerusi Pulai, MIC pun kenalah serahkan dan beri laluan kepada UMNO bertanding di Tapah yang majoriti pengundi Melayu di kerusi berkenaan.
“Barulah adil dan kena dengan semangat kekeluargaan dalam BN,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai yakin BN akan memperoleh kemenangan di Parlimen Tapah dalam PRU15 sekiranya calon UMNO diletakkan di kerusi berkenaan.
“Saya percaya jika calon UMNO bertanding di kerusi Tapah, BN akan dapat kemenangan di Parlimen kerana pengundi Melayu sekarang ini ada keyakinan tinggi terhadap keupayaan dan ‘track record’ cemerlang.
“Jadi, BN akan untung sebab mampu kekalkan kerusi Tapah dan MIC pun belum tentu dapat menang di Pulai. Tetapi jika MIC berhasrat nak bertanding di Pulai, mereka kenalah berunding dahulu dengan MCA sebab 40 peratus pengundi Pulai adalah masyarakat Tiong Hua sedangkan pengundi India hanya 12 peratus,” ujarnya.
Namun, Nur Jazlan memuji keberanian Ketua Penerangan MIC Johor, S. Deva yang bersedia menyahut cabarannya untuk bertanding di Parlimen Pulai.
“Walaupun asalnya saya tawarkan kerusi itu pada Presiden atau Timbalan Presiden MIC untuk bertanding, sekurang-kurangnya S. Deva ini berani sahut cabaran berbanding dua ketuanya itu.
“Tapi sayang, saya nampak MIC seperti tak serius untuk terima tawaran saya. Semua orang tahu kerusi Pulai adalah satu kerusi yang ‘tough’ dan hanya calon-calon ‘heavyweight’ yang boleh menang dan bukannya calon lightweight‘. Bukan senang nak menang di Pulai.
“Cuma MIC tak boleh bawa budaya ‘kerusi lipat’ di Pulai macam mereka buat di tempat-tempat lain sebelum ini. Minta kerusi nak bertanding tapi kalah selepas itu ‘lipat kerusi’ tolak tepi dan minta lagi kerusi lain,” katanya. -UTUSAN