KUALA LUMPUR: Mesyurat Majlis Tertinggi (MT) UMNO dipercayai sedang berlangsung malam ini di Menara Dato Onn, di sini.
Ia selepas pekarangan menara di sini tidak lagi menerima ketibaan beberapa pimpinan UMNO ketika ini.
Pengamal media mula berkumpul sejak pukul 7 malam tadi bagi mendaptkan perkembangan mesyuarat berkenaan.
Ini kerana timbul desas-desus keputusan mesyuarat malam ini memberi bayangan sama ada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat atau sebaliknya.
Malah, pertemuan lima pimpinan tertinggi UMNO petang tadi menguatkan lagi cakap-cakap tersebut.
Ia susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini beliau akan berbincang lebih awal dengan Top 5 berhubung tarikh PRU15 sebelum Bajet 2023 Jumaat ini.
Terdahulu, antara pimpinan UMNO yang dilihat hadir adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Selain itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad.
Seterusnya, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan; Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said. – UTUSAN